JHS yakin mampu capai sasaran tanam 35 juta pokok menjelang 2025

Pengarah JHS, Datuk Hamden Mohammad

KUCHING, 26 Mac: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) yakin mampu mencapai sasaran 35 juta pokok untuk ditanam di seluruh Sarawak menjelang tahun 2025.

Pengarah JHS, Datuk Hamden Mohammad berkata, setakat hari ini (26 Mac), JHS telah berjaya menanam 13.45 juta pokok dari pelbagai spesis.

Katanya, daripada jumlah yang ditanam itu, 10.4 juta pokok berjaya ditanam pada tahun lalu manakala 3.15 juta lagi ditanam setakat hari ini (26 Mac).


“Menerusi Kempen Penghijauan Malaysia yang dilancarkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli Malaysia yang mana mensasarkan penanaman 100 juta pokok menjelang 2025 dan kempen tersebut melibatkan seluruh lapisan masyarakat di negara ini.

“Negeri Sarawak pula mensasarkan penanaman 35 juta pokok menjelang tahun 2025 yang mana setiap tahun kita sasarkan sebanyak tujuh juta pokok untuk ditanam,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Sarawak 2021 di Taman Bukit Siol di sini hari ini.

Hamden berkata, JHS telah menerima peruntukkan sebanyak RM4 juta bagi perlaksaan kempen tersebut bagi tahun ini selain peruntukkan berjumlah RM6.34 juta dari Kerajaan Persekutuan bagi perlaksanan program Retorasi Lanskap Hutan (FLR) dibawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Katanya, menerusi FLR pelbagai spesis pokok tempatan termasuk spesis indigenous cepat tumbuh dipilih untuk ditanan dalam program terbabit.

“Bagi membantu perlaksanan Penghijauan Sarawak, JHS juga turut memanfaatkan teknologi hiperspektral untuk mengenalpasti kawasan yang bersesuaian untuk ditanam semula,” katanya.

Tambah beliau, kejadian Tsunami yang melanda hampir seluruh dunia pada 2004 memberi indikasi pentingnya restorasi hutan bakau.

Katanya, sejak lebih sedekad lalu, JHS berjaya menanam semula pokok bakau dan rhu di kawasan seluas 418 hektar di persisiran pantai Sarawak.

“Dianggarkan lebih 696,137 pokok bakau telah ditanam menerusi projek khas restorasi hutan bakau ini.

“Kawasan hutan bakau yang telah direstorasi adalah seperti Selabat Mud Flat NR di Kuching dan Tun Ahmad Zaidi NR di Sibu yang telah diwartakan sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA),” katanya.