48 kes disahkan positif demam campak di Bintulu, 19 kes dikategorikan sebagai wabak

Dr Jamilah Hashim

KUCHING, Mei 25: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak hari ini mengesahkan sejumlah 48 kes disahkan positif demam campak melalui ujian makmal di bahagian Bintulu setakat Mei 21 lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Jamilah Hashim berkata, namun begitu, daripada jumlah kes yang positif itu, cuma 19 kes merupakan kes wabak, manakala 29 adalah kes lagi adalah sporadik.

Jelas beliau, wabak itu melibatkan lapan kawasan yang terdiri daripada taman perumahan, penempatan pekerja di kilang papan dan tadika.


“Daripada 48 kes yang dikesan di Bintulu, 20 kes (41.67 peratus) adalah di kalangan kanak-kanak berumur bawah 7 tahun.

“Sejumlah 43 kes (89.58 peratus) tidak menerima vaksin measles, 12 kes (27.9 peratus) belum layak kerana berumur kurang dari 6 bulan.

“Enam kes (13.9 peratus) pula tidak pernah terima vaksin dan 25 kes (58.1 peratus) tidak diketahui status imunisasi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Jamilah memberitahu, sehingga kini, seramai 22,414 orang telah diperiksa dan 675 orang telah
diberi suntikan vaksin di kawasan wabak.

Di samping itu katanya, sebuah tadika telah diarahkan tutup selama seminggu iaitu sehingga Mei 21 lalu.

“Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak ingin menasihati mana-mana individu yang mengalami gejala demam campak seperti demam, ruam, batuk, selsema atau mata merah berair (konjuntivitis) untuk segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berhampiran.

“Pengesanan dan rawatan awal dapat membendung penularan demam campak di kalangan masyarakat dan mencegah komplikasi demam campak yang lebih teruk,” ujarnya.

Beliau memberitahu, demam campak adalah penyakit yang boleh dicegah dengan pemberian suntikan vaksin.

Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak juga terus menjalankan aktiviti-aktiviti kawalan dan pencegahan wabak demam campak di kawasan yang telah dikenalpasti.

“Aktiviti-aktiviti kawalan dan pencegahan ini amat penting dilaksanakan bagi membendung penularan wabak dan komplikasi akibat daripada demam campak terutamanya di kalangan bayi, pesakit yang mempunyai kurang daya tahan melawan penyakit dan warga emas.

“Aktiviti ini akan diteruskan sehinggalah wabak diisytiharkan tamat,” katanya lagi. — DayakDaily