Nasib malang mangsa kebakaran dapat perhatian ‘DBKU Cares’

Rudzaimier (tujuh dari kiri) bergambar bersama mangsa kebakaran dan kakitangan 'DBKU Cares' di Kampung Bintawa Hilir.

KUCHING, Mei 25: Nasib malang dua buah keluarga yang hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka di Kampung Bintawa Hilir musnah terbakar pada malam Rabu lalu mendapat perhatian skuad ‘DBKU Cares’ hari ini.

Skuad ‘DBKU Cares’ diketuai oleh Ketua Bahagian Pembangunan dan Perkhidmatan Komuniti, Rudzaimier Malek serta rombongan telah menyerahkan sumbangan berupa barangan keperluan dapur serta makanan kepada mangsa kebakaran di kampung berkenaan.

‘DBKU Cares’ segera bertindak dengan menyampaikan sumbangan itu setelah memperoleh maklumat berhubung kejadian menimpa keluarga tersebut.


“Kami bersimpati dengan nasib kedua-dua keluarga ini kerana mereka ditimpa musibah dalam bulan Ramadan.

“Kita berharap sumbangan ini dapat membantu meringankan beban mangsa yang kini dalam fasa pemulihan daripada kejadian berkenaan,” katanya di sini hari ini.

DayakDaily semalam melaporkan seramai 13 penghuni tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka di Lorong 5, Kampung Bintawa Hilir di sini musnah dalam kebakaran.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 8.58 malam itu tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 9 malam.

Menurutnya, sejurus menerima laporan kejadian, seramai 42 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya, BBP Kuching, BBP Tabuan Jaya, BBP Batu Lintang bersama jentera pemadam kebakaran diarahkan ke kampung berkenaan.

“Terdapat empat pasukan bomba dikerahkan ke lokasi kejadian memandangkan kedudukan rumah di kampung tersebut amat rapat.

“Pasukan kita berjaya menyelamatkan tiga buah rumah yang terletak berhampiran dengan menggunakan kaedah ‘fire break’ bagi mengawal kebakaran daripada merebak,” katanya.

Tiong menambah, api marak dengan cepat kerana kedua-dua rumah terbabit diperbuat daripada bahan mudah terbakar. — DayakDaily