10 serbuan, 10 individu ditahan terlibat judi haram

Anggota polis melakukan serbuan di premis judi haram.

KUCHING, Mei 25: Polis Sarawak terus memperhebatkan operasi membanteras kegiatan judi haram di negeri ini menerusi 10 serbuan yang dilakukan semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Dennis Leong Soon Kuai berkata, serbuan yang dilakukan mulai pukul 12 tengah hari hingga 7.30 petang itu berjaya menahan 10 individu.

Katanya, semua individu yang diberkas itu berusia antara 17 hingga 51 tahun.


“Daripada 10 serbuan berasingan itu, enam serbuan dilakukan di premis judi siber, manakala empat serbuan di pusat jual judi loteri haram.

“Hasil serbuan itu, polis berjaya merampas wang tunai sebanyak RM2,401 dipercayai daripada aktiviti perjudian haram berkenaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dennis menambah, antara daerah yang terlibat dalam serbuan itu ialah Kota Samarahan dan Miri.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya. — DayakDaily