4,518 individu ditangkap kerana dadah di Sarawak sejak Januari

Dato' Mohd Azman Ahmad Sapri

KUCHING, 18 Julai: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak merekodkan jumlah tangkapan seramai 4,513 orang bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini berbanding 3,812 tangkapan bagi tempoh sama tahun lepas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri berkata jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 701 tangkapan.

“Daerah penyumbang utama tangkapan jenayah narkotik bagi tahun 2022 adalah Kuching iaitu sebanyak 1,072 tangkapan, diikuti Sibu sebanyak 469 dan Bintulu 422 tangkapan.


“Manakala bagi tahun 2021 adalah Kuching dengan 870 tangkapan, Bintulu sebanyak 381 tangkapan dan Padawan sebanyak 328 tangkapan,” katanya dalam satu sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak di sini hari ini.

Bagi nilai rampasan dadah pula, pada tahun ini rampasan telah meningkat sebanyak RM502,686.50 iaitu daripada RM8,270,242 pada tahun lepas kepada RM8,777,928.50 pada tahun ini.

Dadah yang dirampas ialah syabu, serbuk Ekstasi, pil Ekstasi, ketamin, ganja dan pil Erimin 5.

“Dadah yang dirampas sejak tahun lelas itu boleh digunakan oleh 755,887 orang,” kata Mohd Azman.

Selain itu, polis turut menyita harta bernilai RM1,709,893.82 bagi tahun 2022 berbanding RM1,826,598,69 bagi tahun 2021.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya JSJN akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

“Kita akan melumpuhkan sumber bekalan, kewangan dan aset sindiket bagi memastikan kegiatan mereka dibanteras habis-habisan,” kata Mohd Azman. — DayakDaily