20 peratus projek RTP bagi tahun 2020 di Pantai Damai berjaya dilaksanakan

Dr Abdul Rahman menekan suis lampu limpah gelangang sepak takraw Kg Bintawa Batu sebagai simbolik penyerahan projek tersebut yang dilaksanakan di bawah RTP DUN Pantai Damai.

KUCHING, 18 Nov: Sebanyak 20 peratus daripada keseluruhan 37 projek infrastruktur di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang dibiayai kerajaan Sarawak bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai untuk tahun ini berjaya disiapkan sehingga kini.

Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata penularan wabak Covid-19 secara dasarnya telah mengakibatkan kelewatan dalam pelaksanaan projek terbabit.

Bagaimanpun katanya, bagi 80 peratus projek yang masih belum dilaksanakan itu akan terus dilaksanakan dan dimasukkan dalam perancangan RTP pada tahun hadapan.


“Untuk tahun 2020, saya rasa hanya 20 peratus daripada kesemua projek berkenaan dilaksanakan sepenuhnya, lain-lainnya masih dalam peringkat pelaksanaan, manakala 21 projek belum lagi dapat dilakukan.

“Jadi untuk tahun ini, memang kita hendak percepatkan tapi malangnya apabila keadaan pandemik berlaku, ini ia menangguhkan projek kita jadi kita akan bawa perlaksanaannya ke tahun hadapan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan Projek RTP daripada agensi pelaksana kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bintawa Batu di sini hari ini.

Menurutnya, projek tersebut merangkumi pembinaan pontun dan pangkalan awam, menaik taraf jalan kampung, jalan tembok dan jalan titi, membina padang futsal dan menaik taraf gelanggang sepak takraw, membina dataran penjaja serta menaik taraf balai raya dan dewan serba guna.

Dr Abdul Rahman berkata, semua projek RTP yang dirancang di DUN Pantai Damai bermula dari tahun 2015 hingga 2018 berjaya dilaksana dan disiapkan sepenuhnya mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Bagaimanapun, bagi tahun 2019 hanya tiga projek RTP bagi kawasan DUN tersebut tidak dapat disiapkan sepenuhnya mengikut perancangan asal.

“Ketiga-tiga projek ini yang dilaksanakan untuk tahun 2019 tidak dapat disiapkan mengikut jadual pelaksanaan disebabkan masalah tanah atau tapak bagi perlaksaan projek tersebut,” katanya.

Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) turut berterima kasih kepada Unit Perancang Ekonomi dan Unit Pemantauan Pelaksanaan Negeri serta agensi pelaksana yang membantu untuk melancarkan pelaksanaan setiap projek yang dirancang sepanjang tempoh terbabit. — DayakDaily