16 barang disenarai Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina

Ketua pegawai penguatkuasa KPDNHEP Sarawak Mogan a/l Arumugam (kedua dari kiri) sedang menjalankan tugas di pasaraya Ever Rise, Jalan Penrissen Kuching hari ini

KUCHING, 9 Feb: Sebanyak enam belas jenis barangan dikawal harganya disenaraikan sempena Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina (SHMMP TBC) 2021.

Antara 16 jenis barangan terkawal harga tersebut ialah ayam hidup; ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya); ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal); telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram hingga 69.9 gram sebiji); telur ayam gred B (berat antara 60.0 gram hingga 64.9 gram sebiji); telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram hingga 59.9 gram sebiji); kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing); cili merah; tomato; bawang putih (China); ubi kentang import (China); ikan bawal putih (berat antara 200 gram hingga 400 gram seekor); udang putih besar (berat antara 41 ekor hingga 60 ekor sekilogram); babi hidup (harga maksimum di peringkat ladang sahaja); daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).

Senarai tersebut telah dikeluarkan melalui satu kenyataan akhbar dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersempena dengan satu Walkabout Pemeriksaan SHMMP TBC 2021 di Pasaraya Everrise, Jalan Penrissen, Kuching hari ini.

Lawatan ini bertujuan untuk membuat tinjauan ke atas peniaga sempena pelaksanaan SHMMP TBC 2021 yang telah berkuatkuasa bermula pada Februari 8-16, 2021.

“Tempoh kuatkuasa skim ini adalah selama 9 hari iaitu 4 hari sebelum hari perayaan, 1 (satu) hari pada hari perayaan dan 4 hari selepas hari perayaan. Selain itu, lawatan ini juga bertujuan untuk memaklumkan kepada rakyat tentang langkah kerajaan yang prihatin dan serius dalam menangani kos sara hidup dan kenaikan harga barang,” jelas kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, sepanjang lawatan pada hari ini di Pasaraya Everrise, Jalan Penrissen, Kuching, pegawai-pegawai penguatkuasa KPDNHEP memerhatikan bahawa kesemua barang kawalan dijual tidak melebihi harga kawalan.

“Malah, kita mendapati ada beberapa barang kawalan dijual di bawah harga maksimum. Konsep ini sesuai dengan hasrat kerajaan menetapkan harga maksimum. Peniaga digalakkan menjual barangan pada harga yang lebih rendah daripada harga maksimum sekiranya harga yang diperolehi adalah lebih rendah.

“Walau bagaimanapun, KPDNHEP Negeri Sarawak sentiasa mengambil usaha dan langkah untuk menstabilkan harga barangan keperluan terutamanya semasa rakyat menyambut musim perayaan,” jelas kenyataan itu.

Kementerian tersebut turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum yang ditentukan oleh Kerajaan dan gagal meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu.

“Kerajaan mewajibkan tanda harga merah jambu ke atas barangan harga terkawal bagi membezakannya dengan barangan lain,” tambah kenyataan tersebut.

KPDNHEP juga memberi amaran tegas kepada mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Antara kesalahan yang boleh dikenakan penalti termasuk kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, bagi individu – boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya; atau dikompaun sehingga RM50,000 dan bagi syarikat – boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Manakala dan kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal, bagi individu – boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 dan bagi syarikat – boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.

Seramai 176 orang pegawai penguatkuasa dan 101 orang pegawai pemantau harga KPDNHEP Negeri Sarawak akan berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasaraya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan.

“Langkah-langkah ini mencerminkan usaha berterusan bagi melindungi pengguna daripada aktiviti pengambilan keuntungan yang berlebihan oleh peniaga-peniaga yang tidak beretika semasa musim perayaan.

“Justeru itu, untuk memastikan keperluan orang ramai tidak terjejas KPDNHEP Negeri Sarawak telah mengambil inisiatif dan tindakan proaktif dengan membuat pemantauan dan pemeriksaan kedudukan bekalan barang-barang keperluan di kawasan bandar, luar bandar dan kawasan pedalaman meliputi seluruh rantaian pengedaran dan pembekalan barangan serta perkhidmatan di seluruh kawasan Negeri Sarawak,” kata kenyataan tersebut.

Sementara itu sepanjang tahun 2020 pelaksanaan SHMMP, KPDNHEP Negeri Sarawak telah membuat pemeriksaan terhadap sebanyak 14,731 premis dan menghasilkan 37 kes membabitkan penjualan barangan melebihi harga maksimum barang harga terkawal di bawah AKHAP 2011; gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal (26 kes) dan gagal mempamerkan tanda harga atau senarai harga bagi barangan yang dijual di bawah AKHAP 2011 (8 kes) dengan nilai rampasan sebanyak RM 2,524.70 dan jumlah kompaun sebanyak RM 8,250. — DayakDaily