11 kompaun berjumlah RM36,000 dikeluarkan sepanjang tempoh berkempen PRN12

Aidi bercakap dalam sidang media tersebut.

KUCHING, 17 Dis: Sebanyak 11 kompaun dikeluarkan sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) Sarawak kerana kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Aidi Ismail berkata, kesemua kompaun tersebut berjumlah RM36,000 dengan empat kompaun terhadap Parti Keadilan Rakyat (PKR), Gabungan Parti Sarawak (GPS) tiga kompaun, bebas dan Parti Demokratik Progresif (PDP) masing-masing satu kompaun dan dua kompaun bukan parti.

Katanya kompaun tersebut dikeluarkan di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) 2021.


Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Aidi berkata, polis telah menerima 185 laporan polis pada 6 Dis sehingga semalam dan telah membuka 71 kertas siasatan.

Jelas beliau, siasatan kes khianat paling banyak iaitu 23 kes, diikuti fitnah sebanyak 12 kes dan menggunakan media sosial menyebarkan berita palsu sebanyak enam kes.

Sementara itu, beliau turut memberitahu seramai 7,434 pegawai dan anggota PDRM kontinjen Sarawak bersedia bertugas untuk hari mengundi PRN-12 esok.

Aidi memberitahu pihaknya menyediakan sumber manusia yang mencukupi untuk memastikan proses membuang undi esok berjalan dengan lancar dan selamat terutamanya di 1,886 pusat mengundi.

Jelasnya bantuan sebanyak 3,152 orang dari Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) dan Polis Bantuan Lembaga Pembangunan Bintulu (BDA) serta anggota dari Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan turut membantu.

Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Dato Mancha Ata, Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Sarawak, SAC Tuan Gilberd Philip Layang, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Tuan Lukas Aket dan Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Superintenden Ismail Mahmood. — DayakDaily