Awang Tengah: Tiga penjuru di Bukit Sari bukti sistem demokrasi

Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan

KUCHING, 17 Dis: Pertarungan tiga penjuru di N82 Bukit Sari adalah bukti sistem demokrasi yang memberikan peluang kepada penduduk untuk menentukan pemimpin mereka.

Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, penduduk Bukit Sari telah dapat menyaksikan apa yang telah dicapai selama ini untuk kawasan Bukit Sari.

“Azam kita adalah untuk meneruskan usaha-usaha pembangunan dan membela kebajikan masyarakat kita serta memastikan masa depan anak muda kita terjamin.


“Oleh itu, saya menyeru agar pengundi-pengundi untuk mengundi GPS dan saya berjanji akan meneruskan usaha-usaha pembangunan di N82 Bukit Sari untuk memastikan kebajikan masyarakat kita dapat terus dijaga dan kita dapat membina asas-asas yang kukuh untuk masa depan generasi muda kita,” katanya dalam satu video berdurasi tiga minit hari ini.

Setelah mengharungi tempoh berkempen selama 12 hari, Awang Tengah percaya penduduk Bukit Sari telah berfikir panjang dan akan membuat keputusan yang terbaik untuk memilih wakil rakyat mereka.

Walau bagaimanapun, beliau turut mengingatkan bahawa hanya GPS sahaja yang berjuang untuk memastikan hak Sarawak adalah diperjuangkan seperti apa yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia, Perjanjian Malaysia 1963 dan laporan IGC.

Awang Tengah bakal berhadapan dengan Alias Mail dari Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Riyah Basrah dari Parti Bumi Kenyalang (PBK). — DayakDaily