Warga emas ditangkap miliki dadah bernilai RM219,560 di Miri, dakwa ubat tradisional

Dadah yang dirampas daripada warga emas terbabit.

MIRI, 29 Dis: Sepasang suami isteri warga emas ditangkap Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Miri ketika hadir menuntut satu bungkusan kurier yang didapati mengandungi dadah jenis ketamin bernilai RM219,560.

Pengarah Kastam Sarawak Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata kedua-dua suspek berusia 60an hadir di premis perkhidmatan kurier tersebut di bandaraya Miri sekitar jam 9.45 pagi.

Katanya, pemeriksaan ke atas bungkusan yang dituntut suspek mendapati mengandungi 500 paket kecil yang didakwa ubat tradisional Cina.


Bungkusan tersebut kemudian disita untuk pemeriksaan lanjut.

“Ujian awal yang dilakukan terhadap kandungan paket tersebut mendapati ianya positif dadah jenis ketamin.

“Berat kasar dadah berkenaan adalah seberat 3,992 gram dengan nilai anggaran sebanyak RM 219,560,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Kedua-dua suspek kemudian ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Siasatan awal yang dijalankan ke atas suspek mendapati bungkusan tersebut telah dikirimkan ke Bandaraya Miri daripada Semenanjung Malaysia dengan menggunakan perkhidmatan kurier tempatan.

“Menurut keterangan suspek, mereka sudah beberapa kali membeli barangan tersebut daripada penjual di sebuah negeri di utara Malaysia.

“Suspek juga menyatakan dadah tersebut adalah untuk kegunaan sendiri dan sebahagian kecil pula dijual di kalangan komuniti kerana ia dipercayai dapat melegakan sakit sendi,” katanya lagi.

Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan.

Sementara itu, JKDM Miri turut menangkap seorang lelaki warga asing juga di luar sebuah premis kurier bandaraya tersebut pada 20 Disember sekitar jam 2.14 petang.

“Terdahulu, suspek tersebut telah hadir ke premis kurier berkenaan bagi tujuan menuntut sebuah bungkusan.

“Suspek kemudiannya telah ditahan oleh pegawai JKDM yang bertugas apabila bungkusan miliknya disyaki mengandungi dadah berbahaya,” katanya.

Berdasarkan semakan awal, bungkusan tersebut telah diikrarkan sebagai makanan ikan.

“Suspek mendakwa bahawa barangan tersebut dituntut bagi pihak keluarganya dan seorang lelaki (suspek kedua) yang mengaku sebagai abangnya turut ditahan kerana disyaki terlibat sama dalam pengurusan bungkusan yang mengandungi dadah,” katanya.

Jelasnya, pemeriksaan rapi yang dilakukan ke atas bungkusan berkenaan telah membawa kepada penemuan dua ketulan mampat daun tumbuhan kering yang disyaki dadah ganja.

Berat kasar ketulan ganja tersebut adalah seberat 1,042 gram dengan nilai anggaran sebanyak RM4,600.

Siasatan lanjut masih dijalankan. — DayakDaily