Wan Junaidi: Tuntutan satu pertiga kerusi parlimen, ketua menteri buat pengumuman September ini

Wan Junaidi: Tuntutan satu pertiga kerusi parlimen, ketua menteri buat pengumuman September ini

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 18 JULAI: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan mengumumkan sesuatu berhubung tuntutan satu pertiga kerusi parlimen untuk Sarawak dan Sabah, dedah MP Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Wan Junaidi yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, beliau sudah mengetahui butirannya tetapi belum boleh didedahkan kepada umum sehingga ketua menteri atau perdana menteri mengumumkannya.


“Tunggulah, ketua menteri akan membuat pengumuman (kalau tak silap saya) pada bulan September ini.

“Bulan September tak lama lagi, kita dah menunggu berpuluh tahun,”katanya pada sidang media bersempena Program Pembangunan Kapasiti dan Pengalakkan Koperasi di Kampung Boyan, Petra Jaya hari ini.

Mengulas isu tersebut, Wan Junaidi berkata, ketika penubuhan Malaysia pada tahun 1963 jumlah ahli parlimen Sarawak dan Sabah mesti melebihi sedikit daripada satu pertiga daripada jumlah keseluruhan kerusi parlimen.

Katanya, apabila Singapura keluar dari Malaysia pada tahun 1965, sebanyak 14 kerusi parlimen Singapura tidak dibahagikan kepada Sarawak dan Sabah.

“Kerusi tersebut diserahkan kesemuanya kepada Semenanjung Malaysia dan inilah penyebab kerusi parlimen Semenanjung berlebihan.

“Apa yang kita minta ialah kerusi yang dimiliki kita sekarang dipecahkan lagi begitu juga kerusi milik Sabah, supaya bilangan ahli parlimen kita dapat kembali kepada jumlah asal semasa penubuhan Malaysia,’ujar Wan Junaidi.

Abang Johari baru-baru ini berkata, Sarawak akan terus memperjuangkan haknya dalam mendapatkan semula peruntukan satu pertiga daripada keseluruhan 222 kerusi di Parlimen.

Menurut beliau, ia penting bagi negeri itu untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan serantau selepas Singapura keluar dari Persekutuan Malaysia pada 1965.

Katanya, sekiranya Sarawak dan Sabah tidak memiliki perwakilan satu pertiga di Parlimen atau kurang dari satu pertiga jumlah kerusi, maka pindaan Perlembagaan harus dilakukan berdasarkan kepentingan Semenanjung Malaysia yang juga memiliki perwakilan satu pertiga di Parlimen.—DayakDaily