Wabak rabies ragut nyawa ke-6 di Sarawak

A dog being administered with the anti-rabies vaccine during a vaccination programme in this file photo.

KUCHING, Feb 5: Wabak rabies atau penyakit anjing gila di Sarawak mencatatkan kematian yang keenam, semalam.

Mangsa, lelaki berusia 59 tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini kira-kira pukul 4 petang.

Mayat mangsa sudah dibawa pulang ke rumahnya di Jalan Batu Kawa-Matang di sini untuk urusan pengebumian.


Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan akhbar pada Jan 26 lalu telah mengesahkan satu kes baharu jangkitan rabies terhadap manusia melalui ujian makmal.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah berkata, kes tersebut melibatkan seorang lelaki warga emas yang mempunyai sejarah digigit anjing pada Nov 27 lalu.

Menurutnya, mangsa telah mendapatkan rawatan di klinik swasta pada hari yang sama, namun tidak dirujuk ke fasiliti kesihatan kerajaan untuk diberi vaksinasi.

“Manakala, pada Jan 20 lalu, mangsa dikatakan telah mengalami sakit serta lemah anggota kaki dan dimasukkan ke hospital swasta pada Jan 24.

“Mangsa kemudian dirujuk ke HUS untuk rawatan lanjut. Pesakit telah menunjukkan gejala hydrophobia, hallusinasi dan agresif,” katanya.

Sejak Jun 30 tahun lalu hingga Jan 26 lepas, terdapat tujuh kes jangkitan rabies di Sarawak dilaporkan dengan lima mangsa telah meninggal dunia

Sementara itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang merupakan mangsa keenam wabak rabies sejak Ogos tahun lalu telah dibenarkan pulang ke rumah ahli keluarganya di Kampung Kuala, Serian. — DayakDaily