Gempar buaya seberat 300 kilogram ditangkap

Kelihatan seekor buaya seberat kira-kira 300kg yang ditangkap di Kampung Kanchong Gedong.

SIMUNJAN, Feb 4: Penduduk Kampung Kanchong Gedong di sini gempar selepas seekor buaya sepanjang kira-kira tiga meter berjaya ditangkap di Sungai Gedong di sini hari ini.

Reptilia seberat kira-kira 300 kilogram itu ditangkap setelah sang bedal tersebut dikatakan makan umpan kail yang dipasang di sekitar sungai di situ.

Seorang penduduk kampung yang enggan dikenali berkata, buaya tersebut ditangkap kira-kira pukul 8 pagi.


Ujarnya, reptilia itu ditangkap selepas memakan umpan daging yang dipasang sejak beberapa hari lalu.

Semasa dia keluar memeriksa pancing itu, dia amat terkejut apabila mendapati salah satu mata kail terkena reptilia ganas tersebut.

“Panik melihat buaya yang besar, saya kemudian menghubungi rakan-rakan lain untuk membantu menangkap buaya itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dia menambah, mereka terpaksa mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menangkap buaya itu memandangkan sang bedal berkenaan sangat besar dan agresif.

Jelasnya, selepas bergelut menangkap reptilia itu, dia dan rakan-rakan akhirnya berjaya menjinakkan sang bedal tersebut sebelum membawa haiwan itu balik ke jeti kampung.

“Kami terpaksa mengikat rahang dan kaki buaya itu bagi memudahkan mengheret reptilia berkenaan ke darat,” katanya. — DayakDaily