Unimas dapat dana untuk Program ‘Service Learning’

Aidel (tiga dari kanan) menyerahkan replika cek kepada Wan Hashim.

KOTA SAMARAHAN, Jan 30: Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) semalam telah menerima dana sebanyak RM11,300 daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Aidel Lariwoo untuk melaksanakan Program ‘Service Learning’ (PSL) pada tahun ini.

PSL telah dilaksanakan sejak September 2016, bermula Semester 1, 2016/2017 sehingga kini.

Ia merupakan satu program di mana pelajar UNIMAS dan masyarakat setempat bekerjasama dan membudayakan perkongsian ilmu dan memanfaatkan kedua-dua pihak.


Ini dengan erti kata lain komuniti dapat menyelesaikan masalah setempat dengan bantuan pelajar manakala pelajar dapat meningkatkan kemahiran insaniah dan jati diri.

Kebanyakan program yang dijalankan bersama masyarakat ialah berkongsi ilmu dan pendedahan meluas mengenai dunia ICT kepada komuniti setempat.

Ini adalah sejajar dengan hala tuju ke arah Revolusi Industri (IR 4.0) dan secara tidak langsung menyumbang kepada usaha ke arah Digital Ekonomi Sarawak.

Sepanjang pelaksanaannya dari 2016, jumlah projek PSL yang terlibat adalah sebanyak 52 projek.

Ini merangkumi 30 projek di kampung dan 22 projek di sekolah. Sejumlah 447 orang pelajar telah dilibatkan dalam PSL di kawasan Kuching dan Samarahan.

Terdapat lima jenis projek yang telah dilaksanakan bersama-sama komuniti seperti membina pangkalan data (Profail Kampung, Sistem Pengurusan Pelajar di Sekolah), mengadakan latihan IT, membangun video promosi/korporat, mengadakan ceramah kesedaran IT, laman atau Portal Web Kampung dan Produk Setempat.

Hasil dari PSL di FSKTM, dua Memorandum of Understanding (MoU) telah dimeterai pada tahun lepas iaitu, MoU di antara UNIMAS dan Ketua Masyarakat N8 Satok dan MoU bersama pihak industri iaitu FAS Holdings Sdn Bhd UNIMAS, ke arah Cashless Community. FSKTM UNIMAS berhasrat akan meneruskan MoA bersama pihak yang terbabit.

Aidel telah menyerahkan replika cek tersebut kepada Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UNIMAS Prof Dr Wan Hashim Wan Ibrahim. — DayakDaily