Polis tahan enam suspek curi motosikal termasuk seorang wanita

Dua motosikal yang berjaya ditemui semula oleh polis.

PADAWAN, Jan 30: Polis berjaya memberkas enam suspek termasuk seorang wanita selepas mereka disyaki terlibat dalam kes curi motosikal di Batu Kawa di sini tahun lalu.

Dalam tangkapan menerusi Ops Lejang kira-kira pukul 12.30 tengah malam semalam, polis turut berjaya menemui sebuah motosikal yang dilaporkan hilang di Gita di sini pada Jun 2013.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, DSP Merbin Lisa berkata, keenam-enam suspek yang ditahan itu berusia antara 22 hingga 41 tahun.


Katanya, kesemua suspek ditahan di sebuah rumah di Taman Matang Ville, Jalan Matang di sini.

“Hasil serbuan itu, polis telah menemui dua buah motosikal masing-masing jenis Yamaha dan Modenas yang dilaporkan hilang sebelum ini.

“Kesemua suspek sudah dibawa ke balai polis.untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Merbin menambah, kesemua suspek ditahan reman selama empat hari sehingga Feb 2 bagi membantu siasatan kes.

“Suspek turut ditahan bagi mengenalpasti jika mereka terlibat dalam lain-lain kes khasnya melibatkan kawasan Padawan,” ujarnya lagi. — DayakDaily