Umbut apong, satu pendapatan lumayan bagi Zarul Nizam

Zarul Nizam menunjukkan umbut apong yang dijual kepada pelanggan.

KOTA SAMARAHAN, 7 Jun: Umbut apong atau umbut nipah dari Sungai Batang Samarahan kini memberikan pendapatan lumayan kepada penjual sayuran kampung di Pusat Penjaja MPKS Jambatan Samarahan atau lebih dikenali sebagai Serikin 2, di sini.

Ini diakui Zarul Nizam Tomi, 24, yang mampu menjual sehingga RM200 umbut apong dari sungai terbabit kepada orang ramai mengunjungi pusat penjaja itu setiap hari semenjak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Saya memperolehi bekalan umbut apong dari bapa saudara saya yang mencari umbut apong di sepanjang Sungai Batang Samarahan ketika air sungai surut, kebiasaanya sebelah pagi.


“Ini kerana umbut apong sukar diperolehi sekiranya air sudah pasang,” katanya ketika ditemui digerainya hari ini.

Zarul Nizam berkata bapa saudaranya kemudian akan membawa bekalan umbut terbabit ke gerainya di pusat penjaja itu pada sebelah tengahari dan terus dijual pada harga RM4 sehingga RM6 mengikut saiz kepada orang ramai.

“Berikutan umbut apong yang dijual saya ini masih segar kerana baharu diambil dari sungai pagi tadi, maka ramai pengunjung pusat penjaja ini yang mencari makanan kampung akan membelinya,” katanya.

Beliau berkata umbut apong mempunyai rasa sedikit pahit dari umbot kelapa atau umbut pokok lain dan ramai yang gemarkan rasa pahit terbabit bagi memasaknya secara direbus dan dicampur udang atau dimasak kerabu, kari, lemak atau tumis.Ā ā€“DayakDaily.