Pusat penjaja MPKS baru masih memerlukan kerja menambah baik

Gerai-gerai menjual makanan di Pusat Penjaja MPKS berhampiran Jambatan Batang Samarahan yang baharu.

KOTA SAMARAHAN, Ogos 20: Peniaga gerai pasar “Serikin 2” yang popular di kalangan penduduk sekitar Kota Samarahan kini sudah berpindah ke Pusat Penjaja Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) berhampiran Jambatan Batang Samarahan.

Tinjauan ke tapak pasar “Serikin 2” semalam mendapati tiada lagi deretan gerai kayu di tapak berniaga haram tepian jalan terbabit manakala di Pusat Penjaja MPKS itu kesemua 60 gerainya sudah digunakan peniaga dari tapak itu.

Gerai mereka samada menjual barangan makanan termasuk kuih-muih, buah-buahan, hasil tani ataupun pelbagai jenis ikan dengan pusat penjaja tersebut juga ada disediakan kemudahan tandas awam dan tempat letak kenderaan.


Pembinaan pusat penjaja itu bermula Disember tahun lepas dan siap dibina baru-baru ini, dan merupakan salah satu projek rakyat dari kerajaan negeri dengan peruntukan sebanyak RM1.2 juta.

Pengerusi jawatankuasa peniaga di pusat penjaja itu, Hadiri Arfan, 42, berkata setelah berpindah ke pusat penjaja tersebut sekitar sebulan yang lepas, pihaknya mendapati MPKS perlu segera menambah baik keadaan pusat itu.

Hadiri menjual air minuman di Pusat Penjaja MPKS berhampiran Jambatan Batang Samarahan.

“Ini terutamanya dari segi bekalan air kerana telah terputus baru-baru ini hingga menyebabkan tandas awam pusat penjaja ini tiada air bagi digunakan orang ramai,” katanya, sambil memberitahu bayaran 20 sen dikenakan bagi mengunakan tandas itu.

Katanya ketika ini peniaga makanan dan minuman di pusat penjaja itu dikenakan MPKS sewa gerai RM1 sehari manakala peniaga gerai menjual ikan sebanyak RM2 sehari kerana lebih banyak mengunakan bekalan air.

Disamping itu, beliau meminta MPKS menambahbaik parit pusat penjaja itu kerana tiada saluran bagi airnya keluar ke longkang utama dan beliau khuatir parit akan cepat penuh dan air parit melimpah ketika hujan lebat.

“Kami terpaksa membuat sendiri saluran keluar air sementara kepada parit terbabit bagi gerai masing-masing bagi mengelakkan air parit itu melimpah,” katanya yang menjual air minuman di pusat itu dan berasal dari Kampung Tanjung Bundong di sini.

Hadiri menunjukkan lubang saluran air keluar sementara dari parit Pusat Penjaja MPKS yang dibinanya sendiri bagi gerainya.

Selain itu, peniaga-peniaga juga mahu MPKS membina bumbung tambahan di belakang gerai mereka bagi mengelakkan pusat penjaja terbabit dibasahi hujan lebat dan terkena panas matahari serta pusat itu dipasang lampu bagi membolehkan mereka berniaga sehingga malam.

Hadiri berkata dengan kerja menambah baik itu, para peniaga yakin ramai pelanggan dari tapak pasar ‘Serikin 2’ sebelum ini akan mengunjungi pusat penjaja baharu itu dan mengakui pelanggan mereka jauh berkurangan setelah berpindah ke sana. — DayakDaily