UiTM Sarawak merancang menghantar pelajar ke Jepun untuk menolong dalam persiapan makanan halal di Sukan Olimpik

Jamil (barisan depan, 13 dari kanan) bersama pelajar UiTM Sarawak yang diraikan di Majlis Anugerah Dekan Sesi Mac-Julai 2018 di Dewan Jubli,Kampus UiTM Sarawak, Kota Samarahan.

KOTA SAMARAHAN, Dis 9: Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak sedang merancang untuk menghantar pelajar terbaiknya dari program Diploma Pengurusan Halal ke Jepun bagi membantu negara tersebut membuat persiapan membekalkan makanan halal kepada atlet Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Rektor UiTM Sarawak, Dato Dr Jamil Hamali berkata pelajar terbabit dirancang dihantar ke Jepun bagi menjalani latihan bekerja dengan industri makanan negara berkenaan yang akan membekalkan makanan kepada atlet Sukan Olimpik 2020 Tokyo dari Julai 24 sehingga Ogos 9, 2020.

“Kita akan berurusan dan komunikasi dengan ketua organisasi berkaitan halal di Jepun dan minta mereka mengenalpasti syarikat mana yang mahu menerima pelajar kita sebagai pelatih pekerja mereka, sebelum Sukan Olimpik nanti,” katanya selepas menghadiri Majlis Anugerah Dekan Sesi Mac-Julai 2018 di Dewan Jubli, Kampus UiTM Sarawak di sini, semalam.


Majlis tersebut bagi meraikan seramai 1,000 pelajar UiTM Sarawak atau 10 peratus dari keseluruhan pelajar universiti itu dari pelbagai program pengajian yang menerima Anugerah Dekan bagi sesi semester Mac-Julai 2018 yang lepas.

Jamil mendedahkan perbincangan dengan organisasi itu dilakukan pihaknya setelah mengikuti lawatan ke Pesta Makanan Halal di Tokyo baru-baru ini sebagai persiapan menghadapi pertandingan sukan itu dan melihat ada ruang dan peluang mengadakan kerjasama dengan industri makanan negara itu.

“Ini kerana mereka di Jepun bimbang mengenai penyediaan makanan kepada kalangan atlet dari negara Islam pada temasya sukan itu nanti dan kita (UiTM Sarawak) telah berbincang mengenai perkara ini dengan ketua organisasi yang berkaitan makanan halal di Jepun,” katanya.

Menurutnya ini kerana industri makanan negara terbabit didapati masih kurang pemahaman mengenai konsep makanan halal dan malahan selama ini banyak menganggap mempamerkan tanda “No Pork” sahaja sudah mencukupi.

Sebahagian dari 1,000 pelajar UiTM Sarawak yang menerima Anugerah Dekan bagi sesi semester Mac-Julai 2018 di Majlis Anugerah Dekan Sesi Mac-Julai 2018 di Dewan Jubli, Kampus UiTM Sarawak, Kota Samarahan.

Katanya pelajar Diploma Pengurusan Halal dari universiti terbabit bukan sahaja akan memastikan makanan disediakan kepada atlet sukan itu nanti menepati konsep halal secara sepenuhnya termasuk dari segi penyembelihan dan kebersihan malahan boleh membantu industri makanan terlibat mendapatkan sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang diyakini banyak negara termasuk Jepun.

Jamil berkata setakat ini pihaknya belum memastikan bilangan pelajar Diploma Pengurusan Halal universiti terbabit yang boleh dihantar ke Tokyo tetapi ini akan bergantung kepada permintaan syarikat makanan, restoran dan hotel disana serta sumber kewangan universiti itu.

“Ketika ini UiTM Sarawak mempunyai seramai 250 pelajar Diploma Pengurusan Halal dari semester satu hingga enam dan ada juga pelajar yang baru sahaja bergraduan dan kami boleh menghantar mereka ke Jepun sebelum temasya sukan itu,” katanya.

Katanya kemungkinan UiTM Sarawak menghantar sejumlah kecil sahaja pelajar terbabit yang terbaik ke Jepun mengunakan sumber kewangannya dan merancang memohon bantuan kerajaan negeri yang ada menyediakan dana bagi membantu mobiliti pelajar yang disediakan melalui Yayasan Sarawak.

Katanya sekiranya mempunyai dana yang banyak, universiti itu bukan sahaja akan menghantar pelajar Diploma Pengurusan Halal, malahan juga bercadang menghantar pelajar Diploma Teknologi Makanan, Diploma Sains Gunaan dan Diploma Sains Sukan ke Tokyo bagi membantu atlet Malaysia ketika Sukan Olimpik itu nanti. — DayakDaily