Tujuh PATI ditahan cuba lintas sempadan

Tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Batalion Ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja Malaysia kira-kira 400 meter dari garis sempadan Malaysia-Indonesia. Turut dirampas, Motosikal, beg galas serta telefon pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM26,300.

LUBOK ANTU, 2 OKT: Cubaan tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) cuba untuk masuk ke Sarawak gagal selepas kesemua mereka ditahan Batalion Ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja yang sedang melaksanakan Op AWAS/KERIS PARANG di persempadanan Sarawak dan Kalimantan Barat semalam.

Markas 1 Divisyen, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan berkata Ketua Penempatan Pos Lubok Antu mendapat maklumat perisikan berkenaan sekumpulan dipercayai warga asing dari Indonesia berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan tersebut.

“Bertindak daripada maklumat tersebut, anggota kita di Pos Lubok Antu mengatur gerak untuk melakukan kawalan di kawasan laluan haram Pondok John iaitu kira-kira 400 meter daripada sempadan Malaysia-Indonesia.


Katanya, hasil pemeriksaan mendapati sekumpulan tujuh warga Indonesia terbabit iaitu lima lelaki dan dua wanita cuba untuk merentas sempadan masuk ke Sarawak menerusi jalan tikus di kawasan terbabit.

Katanya, pemeriksaan lanjut terhadap kesemua warga asing tersebut turut mendapati mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah yang membolehkan mereka memasuki Sarawak.

“Dalam operasi tersebut, kita turut merampas telefon bimbit pelbagai jenama, beg galas dan motosikal yang digunakan oleh PATI tersebut untuk melakuan aktiviti rentas sempadan.

“Kesemua barang rampasan ini kita anggarkan bernilai RM26,300 dan semua PATI serta barangan rampasan ini kita serahkan kepada Ibu Pejabat Polis Lubok Antu untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – DayakDaily