Tolak tawaran anjur Sukan Komanwel, Sarawak akur keputusan Kerajaan Pusat

Abdul Karim melancarkan Motosikal Elektrik Ebixon di Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 26 Mac: Sarawak akur dengan keputusan Kerajaan Pusat untuk tidak menerima tawaran daripada Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) sebagai tuan rumah temasya Sukan Komanwel 2026.

Menurut Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, kata putus sudah dibuat pada Mesyuarat Jemaah Menteri beberapa hari lalu.


“Keputusan sudah dibuat dan mesti ada sebab-sebab tertentu walaupun ditawarkan kepada Malaysia oleh CGF berjumlah £100 juta (RM603 juta) bagi penganjurannya,” kata Abdul Karim.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selesai Pelancaran Motosikal Elektrik Ebixon di Muzium Budaya Borneo hari ini.

Delegasi daripada CGF bertemu Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan mengadakan sesi penerangan mengenai tawaran selaku tuan rumah pada 5 Februari 2024.

Sesi tersebut turut dihadiri oleh Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada 5 Februari 2024.

Hasil pertemuan itu dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan antara lain mengutarakan tawaran CGF berjumlah £100 juta (RM603 juta) dijangka tidak mampu menampung kos keseluruhan penganjuran temasya sukan berskala besar.

Malaysia ditawarkan menjadi tuan rumah apabila Victoria, Australia mengambil keputusan menarik diri selepas memberikan alasan peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AUD2.6 bilion (RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (RM21.78 bilion). — DayakDaily