Tipu jual beli tanah, ‘Abang Ram’ dicekup polis

Suspek yang ditahan Polis Kuching

KUCHING, 12 Dis: Seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan penipuan jual beli tanah yang tidak wujud di kawasan Santubong di sini.

Pemangku ketua polis Kuching, Supt Merbin Lisa berkata, suspek yang dikenali sebagai ‘Abang Ram’, 47, itu ditahan susulan satu laporan polis dibuat oleh seorang penjawat awam mendakwa ditipu suspek berhubung urusan jual beli sebidang tanah di kawasan Santubong Lot.

Katanya, semasa kejadian, mangsa yang terperdaya dengan tawaran suspek telah menyerahkan wang pendahulan sebanyak RM1,512  secara tunai dan bersemuka dengan suspek di sekitar kawasan Santubong.


“Namum begitu, sehingga Januari 2020, mangsa masih belum memperoleh sebidang tanah yang dijanjikan selain suspek tersebut terus gagal dihubungi.

“Merasakan dirinya telah ditipu oleh suspek, mangsa telah membuat satu laporan polis pada 8 Januari 2020 yang lalu.

“Bertindak atas maklumat, pada 9 Disember lalu, suspek telah ditahan dikawasan Gita, Kuching oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Kormersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching yang diketua ASP Simon Renang.

Beliau berkata, susulan penahanan suspek, dua lagi laporan berhubung kes sama diterima pihaknya membabitkan suspek daripada dua mangsa berlainan pada 9 Disember lalu.

“Kedua-dua mangsa merupakan suri rumahtangga berusia 50 dan 37 tahun mendakwa telah menjadi mangsa penipuan jual beli sebidang tanah di kawasan Santubong.

“Kedua-dua mangsa ini juga telah menyerahkan wang secara tunai berjumlah RM3,112 kepada suspek sebagai bayaran pendahuluan tempahan sebidang tanah selepas terperdaya dengan harga murah yang ditawarkan oleh suspek,” katanya.

Merbin berkata, semakan terhadap suspek juga mendapati dia mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan melibatkan modus operandi sama pada 2017.

“Suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula 10 hingga 14 Disember ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Pihak polis juga meminta jika ada individu lain yang menjadi mangsa untuk tampil membual laporan dan membantu siasatan kes tersebut,” tambah beliau. — DayakDaily