Tiada pilih kasih dalam isu SPANCO, semua dipanggil SPRM

Azam (tengah) pada Program Cakna Rasuah di Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 6 Feb: Semua yang terlibat dalam kes membekal kenderaan kerajaan termasuk perdana menteri dan menteri kewangan (ketika itu) akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya telah memulakan siasatan berikutan laporan tindakan pembatalan sebuah syarikat membekal kenderaan kerajaan.


Katanya, ia diberikan semula kepada Spanco Sdn Bhd (SPANCO) yang memilikinya sejak tahun 2000.

“Isu dilaporkan kepada SPRM apabila terjadi pertikaian selepas pembatalan kontrak kepada satu syarikat dan bagaimana SPANCO dapat kontrak sejak dahulu (tahun 2000) sehingga sekarang, itu tumpuan siasatan kita sekarang.

“Tiada pilih kasih, kita sudah memanggil tidak kurang daripada 20 individu dan juga membekukan kira-kira 80 akaun syarikat serta individu berkaitan dalam kes itu,” katanya.

Azam berkata demikian pada sidang media selesai Program Cakna Rasuah bersama Media Sarawak di sini, hari ini.

Sementara itu, SPRM dilaporkan sudah merakamkan keterangan beberapa saksi penting termasuk daripada agensi kerajaan dan individu daripada syarikat terbabit yang sebelum ini memperoleh kontrak membekal serta menguruskan ‘fleet’ kenderaan kerajaan bernilai RM4.5 bilion.

SPRM juga telah menyerbu kediaman dan syarikat ahli perniagaan berusia lingkungan 70-an serta merampas dokumen berkaitan kewangan bagi membantu siasatan.

“Ketika ini tiada pendakwaan dijalankan kerana pihaknya masih dalam peringkat awal siasatan,” jelas Azam. — DayakDaily