Tempoh Januari-Mei 2021, sebanyak 37 kes bunuh diri direkod di Sarawak

Fatimah (dua dari kanan) pada sidang media di Kuching,

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 12 Julai: Sebanyak 37 kes bunuh diri direkodkan oleh pihak polis di Sarawak bagi tempoh Januari hingga Mei 2021, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah.

Katanya, kes bunuh diri menunjukkan peningkatan 19.65 peratus bagi lima bulan pertama dalam tahun 2021 berbanding 46 kes keseluruhan pada 2020.


“Tren peningkatan kes adalah sebanyak 77 peratus dari tahun 2018 hingga 2022 di mana kes bunuh diri pada 2019 meningkat 38.46 peratus daripada 2018.

“Bagi tahun 2020, ia meningkat 27.8 peratus berbanding 2019,” katanya pada sidang media berhubung Perkhidmatan Komuniti CHAT di pejabatnya di Wisma Baitulmakmur di sini hari ini.

Menurut Fatimah, 89 peratus daripada kes bunuh diri ini melibatkan golongan lelaki dengan 96 peratus berumur 18 tahun ke atas.

Katanya, pandemik Covid-19 memberi kesan kepada kesejahteraan komuniti dan menyumbang kepada pelbagai isu sosial dalam masyarakat seperti kesihatan mental, kemiskinan, keganasan rumah tangga dan gelandangan.

Isu sosial ini kata Fatimah telah membawa kepada pelbagai masalah sosial yang serius seperti cubaan membunuh diri dan tragedi membunuh diri yang sering dipaparkan di media perdana dan media sosial.

Berhubung Perkhidmatan Komuniyi CHAT, beliau berkata ia adalah penjenamaan semula Perkhidmatan Tele-Kaunseling Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) bagi menangani isu dan masalah berkaitan kesihatan mental.

“Perkhidmatan Komuniti CHAT ini menghimpunkan para pegawai psikologi dan Pasukan Sokongan Psikologi.

“Mereka ini bersedia memberi khidmat intervensi kaunseling, krisis, bimbingan, sokongan dan pendidikan kesihatan psikologi melalui talian telefon atau aplikasi media sosial,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Fatimah berkata individu yang memerlukan perkhidmatan Community CHAT boleh menghubungi terus Bilik Gerakan Operasi Covid-19 di seluruh Sarawak.

Manakala bagi individu yang ingin mengenalpasti tahap kesihatan mental seperti kebimbangan dan kemurungan serta tekanan, permohonan perkhidmatan boleh didapati melalui kaedah QR Scan yang mengandungi pautan Depression Anxiety dan Stress Scale dan dalam empat Bahasa.

Pautan versi Bahasa Melayu dan Bahasa English ialah http://bit.do/Versi-BM-BI   manakala versi Bahasa Iban dan Bahasa Cinaialah http://bit.do/Versi-Iban-Chinese.  — DayakDaily