Pentadbir urus pusat judi dalam talian perolehi keuntungan RM8 juta sejak tiga bulan lalu ditangkap di Kuching

Anggota polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

KUCHING, 12 Julai: Seorang lelaki disyaki pentadbir beberapa pusat pengoperasian judi dalam talian (‘online’) ditangkap dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah di Lorong Ang Cheng Ho, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata suspek berusia 25 tahun ditangkap apabila pemeriksaan polis ke atas premis itu mendapati dia dipercayai sedang mengurus beberapa pusat operasi judi ‘online’.

Jelasnya, operasi di bawah Op Dadu Khas itu dilakukan pada jam 5.02 petang hasil daripada risikan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuching.


“Suspek merupakan pentadbir yang diupah untuk menguruskan beberapa akaun pusat pengoperasian judi ‘online’ dan sudah bekerja dengan sindiket tersebut sejak 4 bulan lepas.

“Siasatan awal kepada rekod transaksi mendapati sindiket ini telah membuat keuntungan sekurang-kurangnya RM8 juta dalam tempoh tiga bulan terakhir,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Suspek selain itu turut mempunyai rekod jenayah atas kesalahan yang sama.

Polis turut merampas pelbagai peralatan komputer termasuk telefon bimbit yang digunakan dalam operasi perjudian tersebut.

Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 4(1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Ops Dadu Khas akan diteruskan bagi membanteras perjudian haram yang merugikan ekonomi dalam aspek lesen dan cukai,” katanya. — DayakDaily