SPRM digesa mengiatkan usaha menangkap, mendakwa pemberi rasuah

Talib (lima dari kiri) mengibarkan bendera SPRM bagi melepaskan konvoi Program Walkabout Perdana Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2018 Peringkat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sarawak, di Pejabat SPRM Negeri Sarawak, Kuching.

KUCHING, Dis 9: Kerajaan negeri mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berusaha menangkap dan mendakwa lebih ramai pemberi rasuah dan bukan sahaja penerima rasuah di negeri ini.

Menteri Di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman), Datuk Talib Zulpilip berkata demikian kerana ketika ini kebiasaanya hanya penerima rasuah yang ramai ditangkap dan didakwa di mahkamah berbanding pemberi rasuah.

“Selama ini kebiasaannya orang yang ditangkap ialah penerima rasuah. Dalam formula rasuah ada dua pihak terlibat iaitu yang memberi dan menerima rasuah; kedua-dua pihak harus ditangkap,” katanya ketika merasmikan Program Walkabout Perdana Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2018 Peringkat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sarawak, di Pejabat SPRM Negeri Sarawak, di sini, hari ini.


Talib berkata ini perlu dilakukan SPRM kerana beliau bimbang dalam kes berkaitan rasuah berkaitan pengagihan kontrak kerajaan di negeri ini yang ditangkap hanya pihak menerima rasuah dan pihak pemberi rasuah akan terlepas dari hukuman.

“Kedua-dua pihak perlu dianggap bersalah; kalau tidak datang lagi pegawai (kerajaan) yang baru juga akan dirasuah dan mereka (pemberi rasuah) boleh terus hidup mewah,” katanya.

Selain itu, Talib berkata Kabinet Kerajaan negeri Sarawak juga kabinet negeri yang pertama memulakan ikrar integriti dan bebas rasuah di negara ini dan dimulakan bekas Ketua Menteri, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.

“Manakala, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam masa dua minggu selepas dilantik sebagai Ketua Menteri telah mengadakan ikrar bebas rasuah dan berintegriti,” katanya.

Menurutnya bagi meneruskan usaha mencegah rasuah, kerajaan negeri akan melantik lebih ramai lagi Pegawai Integriti Bertauliah bagi ditempatkan dalam agensi dan jabatannya. ā€” DayakDaily