SPR: Mesej tular dalam media sosial tentang tarikh pembubaran Parlimen dan hari pengundian PRU14 adalah palsu

Tan Sri Mohd Hashim Abdullah
Advertisement

Jangan percaya mesej tular dalam media sosial tentang tarikh pembubaran Parlimen dan hari pengundian PRU14

KUCHING, Dis 28: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ingin menjelaskan bahawa mesej yang ditularkan di media sosial mengenai kononnya pembubaran Parlimen akan berlaku pada 11 Januari 2018, manakala penamaan calon pada 11 Febuari dan Hari Pengundian ditetapkan pada 25 Mac 2018 adalah tidak munasabah sama sekali.

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah dalam satu kenyataan akhbar hari ini berkata, oleh itu, orang ramai adalah dinasihatkan agar tidak mempercayai tarikh-tarikh yang tular itu kerana hak untuk membubarkan Parlimen adalah di bawah perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong atas nasihat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.

Advertisement

“Ini kerana tarikh pembubaran dan pengundian yang dinyatakan adalah melebihi tempoh 60 hari sepertimana yang dinyatakan di bawah Perkara 55(4) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa apabila Parlimen dibubarkan suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh ia bubar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. — DayakDaily

Advertisement