Semua janji Manifesto PH Sarawak hanya retorik — Fadillah Yusof

Datuk Sri Fadillah Yusof

Oleh Dean Adam

KUCHING, Nov 26: Kenyataan media Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Betong, Vernon Albert Kedit atas tajuk “Retorik Politik vs 14 Fakta” jelas satu kenyataan terdesak susulan kegagalan Pakatan Harapan (PH) Sarawak khususnya DAP dan PKR dalam menunaikan janji kepada rakyat di Bumi Kenyalang, menurut seorang pemimpin tempatan.

Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ini kerana banyak janji ditaburkan oleh Parti Tindakan Democratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), terutama dalam Manifeso PH Sarawak.

Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak itu menambah, ia adalah seperti akan memberikan royalti minyak 20 peratus (daripada pengeluaran) dan mengembalikan 50 peratus pendapatan cukai wilayah Sarawak kepada Sarawak, jika PH berjaya menawan Putrajaya.

Bagaimanapun jelasnya, selepas menawan Putrajaya tidak satu pun janji berkenaan ditunaikan PH Sarawak, malah dalam keadaan gagal menunaikan janji-janji lama.

“PH Sarawak juga secara lantang dan berani membuat janji baru selepas PRU-14 termasuk janji 30 peratus peruntukan pembangunan untuk Sabah dan Sarawak dalam Bajet 2019 yang dibuat Pengerusi PH Sarawak, Chong Chieng Jen.

“Namun Sarawak cuma mendapat peruntukan sebanyak RM4.3 bilion, jauh lebih sedikit daripada yang dijanjikan Chong. Antara lain, kenyataan Vernon yang seolah-olah menafikan terus ada pembangunan berlaku selama 55 tahun ini juga ibarat pepatah Allahyarham Tok Nan “ada mata butak” kerana pembangunan tetap ada berlaku dan dinikmati oleh rakyat termasuk masyarakat Penan yang tinggal jauh di pedalaman,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Fadillah menambah, cuma Sarawak masih memerlukan lebih banyak pembangunan berikutan keluasannya hampir sebesar seluruh Semenanjung.

Sebab itulah katanya, Sarawak bersungguh-sungguh memperjuangkan supaya hak negeri ini seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dikembalikan dan royalti minyak lebih besar diberikan bagi membangunkan Sarawak.

“Menjawab soalan Vernon…Ya GPS boleh menjuarai kepentingan rakyat Sarawak. Dalam Belanjawan Negeri Sarawak 2019, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah memperuntukkan bajet paling besar dalam sejarah berjumlah RM11.914 bilion selepas kerajaan Pusat cuma memperuntukan RM4.3 bilion termasuk termasuk RM2 bilion untuk projek Lebuh Raya Pan Borneo.

“Bajet negeri Sarawak ini termasuklah untuk memperluaskan lagi jaringan jalan pesisir, bekalan air dan elektrik. Malah GPS akan meneruskan projek-projek yang tidak diteruskan oleh kerajaan Pusat selepas PRU-14,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Petra Jaya itu menempelak Vernon sepatutnya tepuk dada tanya selera dan berfikir apa yang sudah dilakukan PH di Sarawak selepas berjaya merampas Putrajaya?

Katanya, Menteri dan Timbalan Menteri PH yang dilantik pun “tangan terikat” dan terpaksa menjadi “pak turut” sehingga apa yang mereka laung untuk perjuangkan selama ini tinggal sekadar retorik.

Malah tambahnya, banyak projek yang diluluskan untuk Sarawak seperti projek Jambatan Batang Lupar, Jambatan Igan dan Jambatan Rambungantidak diteruskan oleh kerajaan Pusat, selain banyak projek lain di semua kawasan di Sarawak turut dibatalkan selepas Kerajaan PH memang.

“Bukan nak tambah projek, yang sedia ada dan sepatutnya sudah dimulakan pun telah dibatalkan. Mengenai projek Hospital Sri Aman yang dibangkitkan Vernon, kita sebelum ini memang mengakui kelewatan pelaksanaan beberapa infra seperti Hospital Sri Aman dan telah mendedahkan masalah yang dihadapi termasuk masalah bekalan serta proses ujian dan kelululusan cerucuk yang digunakan.

“Sedang pada masa sama banyak projek lain dapat disiapkan beliautidak nampak, seperti projek Pan Borneo Sarawak yang mendahului jadual darisebelum PRU-14 lagi ketika saya masih Menteri Kerja Raya,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan kenyataan Vernon mengenai ‘apa gunanya bersuara lantang dalam menuntut royalti minyak dan gas jika rakyat biasa tidak mendapat manfaat’, menampakkan kejahilan dia dan menunjukkan sikap berdolak dalih pemimpin PKR ketika rakyat Sarawak sendiri tidak berpuas hati dengan kegagalan PHmenunaikan janji dalam manifesto.

Katanya, paling melucukan apabila Vernon mengatakan DAP dan PKR bukan parti Malaya dan semua pemimpinnya di Sarawak memegang kad pengenalan Sarawak.

“Hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah kedua-dua parti itu berpangkalan di Semenanjung dan ‘bertuankan orang Malaya” dan setakat ini terbukti mereka tunduk dengan semua keputusan yang dibuat oleh “tuan Malaya” sehingga tidak dapat menunaikan semuajanji yang dibuat.

“Vernon mungkin lupa PH Sarawak dulu pernah mendakwa Sarawak di bawah Barisan Nasional (BN) tunduk kepada kehendak BN Pusat. Kini PKR dan DAP terkena batang hidung sendiri.

“Sedang Kerajaan Sarawak pula sudah memilih untuk keluar terus daritelunjuk Malaya dengan penubuhan GPS supaya rakyat Sarawak sendiri mempunyai kuasa sepenuhnya untuk mencorak halatuju pembangunan Sarawak,” katanya.

Harus diingat kata Fadillah, PBB selama ini juga berani menolak UMNO untuk masuk ke Sarawak walaupun sama parti komponen BN dan Sarawak sentiasa berunding demi kepentingan Sarawak, sehingga banyak projek yang sudah dilaksanakan di Sarawak, ada yang sudahsiap dan ada yang masih dalam pelaksanaan.

“Sedang Vernon dan rakan-rakannya pulamahu Sarawak terus ‘bertuankan parti Malaya’, Vernon juga mengatakan DAP menjuarai perjuangan masyarakat bandar dan PKR memperjuang masyarakat luar bandar melalui NCR di Sarawak.

“Kita nak tanya apa pembangunan di bandar dan luar bandar DAP dan PKR sudah bawa di Sarawak dan dalam Belanjawan Negara 2019 berapa peruntukan diluluskan Pusat untukmengukur tanah NCR atau ‘parameter survey’ di Sarawak?. Jawapannya kosong, tidak ada satu sen pun.

“GPS berpegang teguh kepada jaminannya untuk bergerak di atas landasan politik baharu, melangkah ke hadapan dalam menghadapi cabaran sejajar dengan perubahan aspirasi, keperluan dan kehendak rakyat Sarawak yang pelbagai kaum, budaya dan agama.

“GPS akan terus melindungi kepentinganrakyat Sarawak tanpa mengira kaum secara inklusif dan akan memberi tumpuan kepada kepentingan serta hak Sarawak berdasarkan MA63,” katanya. — DayakDaily