Karim: PM perlu dapatkan mandat dari rakyat

Karim pada sidang media di Kuching hari ini.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 9 Feb: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu(PBB) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yakin Perdana Menteri Tan Sri
Muhyiddin Yassin akan memberi laluan kepada Pilihanraya Ke-14(PRU14) selesai tempoh darurat yang dijadualkan pada 1 Ogos 2021.

Katanya dengan ketidaktentuan politik pada masa sekarang, Muhyiddin harus mendapatkan mandat sebagai perdana menteri daripada rakyat.


“Muhyiddin harus menyerahkannya kepada rakyat kerana kini ada yang bersama-sama dengan beliau seperti dari UMNO telah meluahkan perasaan untuk tidak menyokong.

“Jika kita kira dari segi jumlah, seorang MP menarik sokongan dan diikuti seorang lagi MP yang lain, jumlah akan terus berkurangan.

“Kalau kita lihat keadaan parlimen Malaysia, jurang antara Perikatan Nasional(PN) dan bukan PN sangat kecil iaitu 2 atau tiga kerusi
sahaja. Jika ada 2 atau 3 tidak lagi menyokong sememangnya ada masalah,” ujar beliau.

Karim berkata demikian pada sidang media selesai Program BeliaPrihatin 2021 di Bangunan Baitulmakmur di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan percaya parti-parti politik kini sedang membuat persiapan untuk menghadapi PRU14.

Menurut Karim, video tular di media sosial dengan pencetakan poster dan baju pelbagai logo oleh sebuah parti mengambarkan pilihanraya bakal diadakan dalam waktu terdekat.

Dalam pada itu Karim berkata bahawa Gabungan Parti Sarawak(GPS) hanya menghadkan perimeter di Sarawak sahaja.

“Kita hanya jaga Negeri Sarawak sahaja dan kalau dapat parti-parti yang bukan berasal dari Sarawak sama ada yang bersama kita atau tidak, tak perlulah masuk ke Sarawak.

“Biarkan parti berasal dari Sarawak menjaga Sarawak. Parti-parti seperti UMNO, Bersatu, PAS, DAP dan PKR kalau boleh tak perlu datang ke Sarawak, kacau sahaja,” jelas karim.- DayakDaily