Lestari bahasa tempatan : UNIMAS sedia hulur kepakaran

Profesor Dr Ambigapathy a/l Pandian (kanan) selaku Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UNIMAS telah menyampaikan cenderahati kepada Pengarah DBP Sarawak, Dr Hazami Jahari (kiri).

KOTA SAMARAHAN, Dis 28: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bersedia untuk menawarkan kepakaran melalui barisan penyelidik yang ada di universiti ini bagi membantu dalam aktiviti penyelidikan dan pendokumentasian bahasa-bahasa tempatan.

Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, menyebut kehilangan atau kematian sesebuah bahasa, merupakan satu musibah besar dalam sejarah peradaban manusia kerana ia akan terkubur bersama dengan pengetahuan, budaya dan sejarah penting bagi sesuatu bangsa.

Justeru katanya, UNIMAS amat mengalu-alukan kerjasama daripada pihak luar antaranya kerajaan negeri Sarawak, Dewan Bahasa dan Pustaka serta pihak swasta dalam menyalurkan dana penyelidikan bagi melestarikan semua perkembangan bahasa-bahasa di Sarawak.


“Kita di UNIMAS juga mengalakkan penyelidikan di antara universiti ini dengan universiti awam dan swasta lain dalam membongkar kekayaan khazanah bahasa Borneo, yang unik dan berharga.

“Kerjasama begini sudah pasti akan terus memelihara warisan budaya bangsa kita, katanya dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Dekan Fakulti Pengajian Bahasa dan Pengajian Komunikasi (FPBPK) UNIMAS, Dr. Ambigapathy a/l Pandian semasa majlis perasmian Simposium Bahasa dan Linguistik 2017 di UNIMAS di sini.

Prof Dato’ Dr Teo Kok Seong (lima dari kanan, barisan hadapan) merakamkan gambar kenangan bersama para peserta yang terlibat pada Majlis Perasmian Simposium Bahasa dan Linguistik di Pusat Islam Tun Abang Salahuddin (PITAS), UNIMAS.

Mohamad Kadim menambah, beliau turut menyuarakan kekhuatiran mengenai catatan rekod National Geographic Society dalam ‘Enduring Voice Project’ yang menyatakan separuh daripada 7,000 bahasa di Bumi akan hilang pada tahun 2100.

Sehubungan itu, jelas beliau, simposium tersebut amat bertepatan sebagai tempat perbincangan para penyelidik dan pakar untuk merangka, merancang dan melaksanakan kaedah terbaik dalam memastikan bahasa-bahasa Borneo dapat dilestarikan.

Beliau menambah, UNIMAS sememangnya peka dengan kedudukan Bahasa Melayu, keperluan Bahasa Inggeris dan kelangsungan bahasa-bahasa tempatan yang rencam di Kepulauan Borneo.

“Melalui FPBPK, UNIMAS bukan sekadar menjalankan penyelidikan dan pendokumentasian bahasa-bahasa tempatan tetapi juga menawarkan kursus-kursus bahasa tempatan seperti Dialek Melayu Sarawak, Bahasa Iban, Bahasa Bidayuh dan Bahasa Melanau.

“Malahan, beberapa orang ahli akademik UNIMAS terlibat dalam program pendokumentasian dan perkamusan bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

“Saya percaya usaha ini penting dengan bidang tujahan UNIMAS dalam menjamin kelestarian komuniti pelbagai dan terpisah di Bumi Kenyalang,” katanya dalam simposium yang julung kali diadakan itu.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah DBP Sarawak, Dr Hazami Jahari, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dato Dr Teo Kok Seong, Presiden Persatuan Linguitik Malaysia, Profesor Dr Nor Hashimah Jalaluddin, dekan-dekan, timbalan-timbalan Dekan, dan ketua-ketua jabatan kerajaan dan swasta. — DayakDaily