RM5.9 juta telah diperuntukan bagi Projek Mesra Rakyat di Batang Sadong

Nancy (duduk tengah, memakai topi) dalam satu foto diambil semasa kunjungan mesra Krismas di Kampung Semalatong, Ulu Simunjan.

SIMUNJAN, Dis 28: Sebanyak RM5.9 juta telah diperuntukan di bawah Projek Mesra Rakyat (PMR) bagi membangunkan projek fizikal di kawasan Parlimen Batang Sadong sepanjang tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Batang Sadong, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, selain pembangunan projek fizikal, sejumlah RM1.5 juta telah diperuntukan untuk program-program pembangunan modal insan di bawah peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP).

Menurut beliau, pusat khidmat wakil rakyat di situ juga telah memberikan peruntukan bagi kumpulan sasar menjalankan program-program pembangunan sosio-ekonomi.


“Bagaimanapun, ia perlu berterusan kerana kita mahu melihat sendiri bagaimana mereka (kumpulan sasar) membina kekayaan dan kejayaan menerusi kreativiti dan inovasi.

“Malah, sebagai pemimpin, saya tidak pernah berpuas hati dengan apa yang telah diberikan kerana untuk membangunkan sesebuah kawasan dan masyarakatnya perlu dijalankan secara berterusan dan adanya kesinambungan,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengunjungi beberapa rumah pemimpin masyarakat di Kampung Semalatong, Ulu Simunjan sempena perayaan Krismas.

Nancy (duduk kiri) mengadakan kunjungan mesra Krismas di Kampung Semalatong, Ulu Simunjan.

Dalam kunjungan mesra Krismas itu, beliau telah menziarahi rumah Kaunselor Margaret Mamut, Ahli Majlis Daerah Simunjan dan Temenggung bagi Bahagian Samarahan, Anthony Nyipa.

Dalam pada itu, Nancy memberitahu, beliau akan terus menyokong penduduk di Parlimen Simunjan dari segi kewangan mahupun melalui program-program memperkasakan ilmu.

Sebagai contoh program ujarnya, program GIGIH yang dilaksanakan oleh Agensi Inovasi Malaysia (AIM) dibawah seliaan beliau.

“Kemudahan seperti yang disediakan AIM ini adalah bukti kesungguhan kerajaan dalam menggalakkan penjanaan kekayaan menerusi ilmu, teknologi dan pembangunan kemahiran inovatif.

“Ini secara tidak langsung telah menyumbang kepada peningkatan jumlah usahawan di negara ini,” katanya lagi.

Nancy menambah, program GIGIH yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2014 telah berjaya memanfaatkan golongan berpendapatan rendah.

Jelas beliau, ia merupakan program mencari mereka yang menunjukkan kesungguhan untuk memajukan diri sendiri bagi menambah pendapatan serta mengetengahkan aktiviti perniagaan dan perkhidmatan dalam kalangan individu yang dikategorikan terbaik untuk dijadikan sebagai inspirasi kepada rakyat.

“Kejayaan program ini telah mendorong saya untuk terus membantu penduduk di kawasan saya di mana program GIGIH akan dilancarkan sekali lagi dan kali ini di Parlimen Batang Sadong pada tahun depan,” katanya. — DayakDaily