Snowdan ketua kontinjen negeri ke SUKMA ke-19

Abdul Karim ( kiri) memukul gong sebagai simbolik melancarkan Seminar Antarabangsa Ke-5 Mengenai Psikologi Sukan dan Senaman (ISSEP) 2018 disaksikan Snowdan (dua dari kiri).

KUCHING, Feb 7: Kerajaan negeri melantik Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan sebagai Ketua Kontinjen Sarawak ke temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-19 yang akan diadakan di Perak dari Sept 12 hingga 22 tahun ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah telah mengumumkan perlantikan tersebut yang dibuat kerajaan negeri sebagai persiapan awal menyertai temasya sukan berkenaan ketika mesyuarat kabinetnya baru-baru ini.

“Kabinet negeri pada mesyuarat kabinetnya yang lepas telah bersetuju melantik Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan sebagai Ketua Kontinjen Sarawak yang akan mengetuai persiapan alet dari negeri ini ke temasya SUKMA Ke-19, di Perak, hujung tahun ini,” katanya semasa sidang media selepas mewakili Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg merasmikan Seminar Antarabangsa Ke-5 Mengenai Psikologi Sukan dan Senaman (ISSEP) 2018 anjuran Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Perbadanan Sukan Sarawak, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak, Institut Pendidikan Guru Tun Abdul Razak Kampus Kota Samarahan, di sini, semalam.


Abdul Karim berkata dengan perlantikan tersebut, pihaknya berharap Sarawak akan dapat menjuarai SUKMA tahun ini selepas kerap kali terlepas menjadi juara temasya sukan itu yang lepas dan hanya menjadi naib juara atau mendapat tempat ketiga.

“Kali terakhir negeri ini menjuarai temasya terbabit ialah pada 1994 iaitu lebih 20 tahun lepas. Diharapkan dengan perlantikan Menteri Muda Belia dan Sukan terbabit sebagai Ketua Kontinjen Sarawak, segala persiapan atlet ke temasya sukan itu akan menjadi lebih rapi, walaupun ada kecacatan sedikit iaitu tiga acara utama SUKMA telah digugurkan dari dipertandingan pada tahun ini,” katanya.

Abdul Karim (barisan depan, tengah) bersama peserta Seminar Antarabangsa Ke-5 Mengenai Psikologi Sukan dan Senaman (ISSEP) 2018 selepas merasmikan seminar itu.

Beliau berkata acara sukan tergugur itu ialah taekwondo, angkat berat dan sepak takraw dan pihaknya berharap Kementerian Belia dan Sukan pada masyuaratnya tidak lama lagi bagi membincangkan perkara terbabit akan menarik balik keputusan mengugurkan tiga acara itu dari dipertandingkan pada SUKMA Ke-19.

Ini kerana dianggarkan Sarawak akan kehilangan sekurangnya sebanyak 15 pingat emas sekiranya tiga acara terbabit digugurkan dari dipertandingkan pada temasya itu tahun ini dan akan seterusnya menyukarkan negeri ini mencapai sasaran menjadi juara SUKMA ke-19.

“Kita bukan sahaja sudah menghantar atlet bagi acara sukan terbabit yang digugurkan ke luar negara bagi memberi pendedahan malahan menyewa penginapan bagi membawa mereka dari pendalaman ke bandaraya ini bagi dapat berlatih di gim peribadi yang kami sewa khas,” katanya.

Disamping itu, pihaknya juga mengadakan pertandingan angkat berat di negeri ini tahun lepas yang telah disertai 12 negeri dan Sarawak telah berjaya memenangi sehingga sebanyak 13 pingat emas pada pertandingan itu manakala acara taekwondo pada SUKMA Ke-18 yang lepas telah menyaksikan Sarawak menyapu kesesemua pingat emas bagi acara itu.

Sehubungan itu, Sarawak pada temasya SUKMA tahun ini akan berusaha menghantar atlet bagi menyertai semua acara yang ada dipertandingkan dan boleh memberikan sebarang pingat termasuk renang, wushu, olahraga dan ‘ten pin bowling’ serta kemungkinan menghantar kontinjen seramai hampir 500 atlet dan pegawai sukan. — DayakDaily