PKP ganggu persiapan pasukan judo Sarawak hadapi Sukma Johor

Gambar komposit (dari kiri) Geraldine Chung, Voon Xue Zhi dan Chin Sze Ling semasa melakukan latihan di kediaman masing-masing.

Oleh Muhammad Akmal Rizki

KUCHING, April 15: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa ketiga hingga 28 April ini diakui banyak memberi kesan kepada persiapan beberapa sukan yang akan bersaing dalam Sukan Malaysia (Sukma) Johor.

Antaranya pasukan judo Sukma Sarawak yang telah merangka persiapan rapi sejak awal tahun ini untuk menghadapi temasya dwitahunan itu.

Menurut ketua jurulatih Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) bagi sukan judo, Brenton Sim, pasukan Sarawak sepatutnya menyertai dua kejohanan kebangsaan dalam bulan ini sebagai pendedahan.

“Kita sepatutnya menyertai Kejohanan COPA di Kuala Lumpur dari 4 hingga 5 April. Ia disusuli dengan Kejohanan Remaja Kebangsaan di Terengganu dari 25 hingga 26 April.

“Bagaimanapun, perancangan ini tidak dapat kita teruskan kerana arahan PKP yang dikenakan di seluruh negara.

“Dua kejohanan ini sangat penting untuk kita menilai sejauh mana tahap kemampuan atlet kita,” katanya hari ini.

Sim yang merupakan atlet kebangsaan dan pemenang pingat emas Sukma 2011 bagaimanapun berkata pihaknya akur dengan arahan PKP sambil menyifatkannya sangat penting untuk membendung penularan wabak Covid-19.

Sebagaimana dilakukan oleh atlet sukan lain, atlet judo juga kini menjalani latihan di rumah bagi mengekalkan tahap kecergasan.

Menurut Sim, semua tujuh atlet telah diberikan modul latihan yang perlu diikuti di kediaman masing-masing.

“Atlet juga perlu menghantar laporan berbentuk video agar saya boleh memantau samada latihan yang mereka lakukan betul atau tidak.

“Pihak MSNS juga mengadakan sesi kaunseling setiap minggu untuk atlet kita,” jelas beliau lagi.

Atlet judo Sukma Sarawak terdiri daripada lima wanita iaitu Voon Xue Jia (57kg, kata), Voon Xue Zhi (52kg), Geraldine Chung (48kg), Cheryl Chew (78kg) dan Chin Sze Ling (kata).

Manakala dua atlet lelaki ialah Mohd Syaukie (73kg) dan Tan Kok Hung (81kg).

Untuk rekod, Xue Zhi menyumbang pingat gangsa pada Sukma 2018 manakala kakaknya Xue Jia meraih kedudukan kelima juga pada dua tahun lepas.

Menurut Sim lagi, pihaknya meletakkan sasaran terhadap dua atlet berkenaan untuk menyumbang pingat kepada kontinjen Sarawak nanti. — DayakDaily