Sistem penggiliran murid dilaksanakan di semua sekolah di Miri bagi mencegah jangkitan Covid-19

Lee (tiga dari kiri) bersama ahli lembaga sekolah RRSS merasmikan lampu pejalan kaki di hadapan bangunan sekolah tersebut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 5 April: Semua sekolah di daerah Miri melaksanakan sistem penggiliran untuk semua murid yang hadir bagi mengelak kesesakan di bilik kelas semasa sesi pembelajaran.

Jelas Menteri Pengangkutan Sarawak, yang juga menteri bertangungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri (JPBB), Datuk Lee Kim Shin ini juga bagi mencegah jangkitan Covid-19 di kalangan pelajar sekolah.


Lee ditemui hari ini selepas merasmikan lampu pejalan kaki di hadapan Sekolah Menengah Riam Road (RRSS) di sini.

“Saya yakin, sistem penggiliran ini dapat mencegah pelajar dari jangkitan Covid-19,” katanya.

Mengulas sistem pembelajaran mengikut kelas atau bilik darjah, contohnya, untuk Darjah Satu, Dua dan Tiga sesi pembelajaran adalah pada hari Khamis dan Jumaat, sementara Darjah Empat, Lima dan Enam, pada setiap hari Isnin, Selasa dan Rabu.

Lee turut menyeru ibu bapa agar sentiasa memberi kerjasama bagi memastikan standard operasi prosedur (SOP) sentiasa dipatuhi.

“Hanya hantar anak-anak yang sihat ke sekolah, pelajar yang mempunyai simptom seperti demam, batuk, selesema, sakit tekak dan sukar bernafas adalah sama sekali tidak digalakkan datang ke sekolah,” katanya.

“Sekiranya mereka mengalami gejala tersebut, segeralah, bawa anak anda untuk pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Minggu lepas, semasa mesyuarat, JPBB Miri telah memutuskan sesi persekolahan bersemuka bagi sekolah-sekolah di daerah ini dibenarkan beroperasi mulai hari ini (5 April), selepas penutupan selama dua minggu susulan kenaikan kes positif Covid-19. — DayakDaily