PH tidak tutup perbincangan dengan parti lain, agenda tumbangkan GPS

Abang Zulkifli Abang Engkeh (kanan)

KUCHING, 5 April: Pakatan Harapan (PH) tidak sama sekali menutup pintu untuk menyambung perbincangan dengan mana-mana parti, tegas Setiausaha Publisiti PH Sarawak Abang Zulkifli Abang Engkeh.

Menurut beliau, asas utamanya ialah untuk mendapat kenyataan serta perakuan yang jelas bahawa agendanya adalah sama, iaitu menumbangkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) lalu melakukan reformasi dan tranformasi.

“Pakatan Harapan mempunyai hala tuju jangka panjang yang jelas untuk Sarawak.

“Kita akan melakukan refomasi dan “transformasi. Bukan hanya beretorik tetapi bersandarkan agenda-agenda yang jelas dan sudah pasti akan dilakukan secara berjangka dan bersistematik,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah Abang Zulkifli, PH akan membentangkan agenda penyelesaian Tanah Adat (NCR) dalam bentuk yang jauh berbeza dari apa yang dilakukan oleh pimimpin lama yang tidak setia terhadap perjuangan.

Selain itu katanya, PH terus memperjuangkan sebuah kerajaan yang telus dan berinterigiti dimana hasil negeri akan diurus dengan penuh bertanggungjawab.

Pengagihan yang saksama antara pembangunan luar bandar dan bandar, semua kaum akan dipelihara dan dilayan dengan adil.

“PH mempunyai kelainan yang ketara berbanding parti-parti lain termasuk PSB.

“PH telah memaparkan secara objektif perjuangannya, ianya bukan hanya melaungkan keinginan menukar atau menumbangkan Kerajaan GPS, tetapi seterusnya menubuhkan sebuah kerajaan yang mengamalkan keadilan, ketelusan dan beramanah,” ujar beliau. — DayakDaily