Sila Pindah Dalam 40 Hari


KUCHING, May 17, 2017: Tidak dinafikan bahawa Lebuhraya Pan Borneo merupakan satu manifestasi pembangunan dan sosioekonomi oleh pihak Kerajaan yang akan memberi manafaat kepada masyarakat yang tinggal di kawasan pembangunan tersebut.

Namun agak mustahil bagi mereka yang tinggal sepanjang kawasan pembinaan tersebut untuk berpindah memandangkan mereka perlu mencari tapak dan membina kediaman dalam tempoh masa yang singkat.

Realiti ini telah disuarakan oleh ADUN Tamin, Christopher Gira ketika pembentangan usul pada Persidangan DUN ke-18 semalam.


“Selepas mendapat pampasan dari kerajaan, mereka yang terlibat dengan Pan Borneo telah diberi notis untuk berpindah dalam 40 hari untuk membenarkan pembinaan lebuh raya tersebut dijalan.”

“Selepas tamat tempoh tersebut, penguatkuasa dari Jabatan Tanah dan Ukur akan merobohkan kediaman dan keadaan ini memaksa keluarga – keluarga yang terlibat untuk meninggalkan rumah panjang mereka. Harus diingatkan bahawa tindakan mereka untuk tidak meninggalkan kediaman mereka tidak harus dilihat sebagai menentang kerajaan tetapi disebabkan mereka memerlukan masa yang lebih panjang untuk mendapatkan penempatan baharu,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Christopher berkata pegawai penguatkuasa harus bertolak ansur dalam menangani isu yang sensitif ini.

‘Mereka ini bukanlah pendatang mahupun penceroboh oleh itu kita hendaklah menyelesaikan isu ini secara terperinci,” tambah beliau.

Beliau juga memohon pihak Kerajaan untuk memberi dana tambahan sebanyak RM10,000 bagi setiap keluarga yang terjejas akibat pembinaan lebuh raya tersebut, bagi memudahkan mereka memperolehi penempatan yang baharu.

Antara rumah panjang yang terlibat dengan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Tamin adalah Rumah Bundak, Rumah Masam, Rumah Sylvester Jelian, Rumah Chendai, Rumah Kunsun, Rumah David, Rumah Ghani, Rumah Rining, Rumah Kenneth Lone, Rumah Kiruh, Rumah Jiram, Rumah Andie dan Rumah Hamatabikirie Naga.