SDGA mahu anjur lebih banyak program pendidikan untuk masyarakat Dayak


Persatuan Graduan Dayak Sarawak (SDGA) Bintulu bercadang untuk mengadakan lebih banyak program berunsur pendidikan bagi masyarakat Dayak, terutama sekali yang berkaitan dengan memberi kesedaran berkenaan kepentingan pendidikan.

Menurut Presiden SDGA Bintulu Thwaites Langak, antara program yang akan dibuat adalah Hari Professional Muda, program kesedaran membaca, program motivasi, program keibubapaan dan banyak lagi.

Langak turut memaklumkan bahawa SDGA Bintulu akan turut memberi fokus kepada kesedaran pendidikan bagi penduduk luar bandar melalui program motivasinya untuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Tahap 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).


Pada masa sama, Langak juga memaklumkan bahawa SDGA Bintulu akan turut menjalankan aktiviti pengambilan ahli baru bagi memperkuatkan persatuan tersebut, khususnya apabila menjalankan program akademik bagi membantu golongan Dayak.

Langak yang dilantik sebagai Presiden SDGA Bintulu pada Mesyuarat Agung persatuan tersebut baru-baru ini turut mendedahkan bahawa SDGA Bintulu akan memperkemaskan kerjasama persatuan tersebut dengan badan-badan bukan kerajaan lain untuk program-program akan datang.

SDGA Bintulu adalah cabang Persatuan Graduan Dayak Sarawak yang berpusat di Kuching, yang mana ianya berhasrat membantu golongan graduan Dayak bekerjasama untuk membantu masyarakat Dayak dari segi akademik.