Seramai 9,092 orang ditangkap kerana dadah di Sarawak pada 2022

PDRM logo

KUCHING, 11 Jan: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak menangkap 9,092 orang suspek kes dadah untuk tempoh Januari hingga Disember 2022 di seluruh Sarawak.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata 734 daripada keseluruhan tangkapan adalah tokan yang membekalkan dadah kepada sindiket serta penagih.

Katanya, jumlah tangkapan meningkat sebanyak 2,489 kes berbanding tempoh sama pada 2021, yang merekodkan sebanyak 6,607 tangkapan.


Dedahnya, nilai keseluruhan rampasan dadah sepanjang tahun 2022 adalah sebanyak RM12.1 juta yang menunjukkan penurunan sebanyak RM7.2 juta berbanding RM19.3 juta pada tahun 2021.

Sementara tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 juga meningkat seramai sembilan orang kepada 41 orang berbanding 32 orang pada tahun 2021.

Manakala, katanya kadar pertuduhan menunjukkan peningkatan sebanyak 7.6 peratus kepada 87.6 peratus berbanding 80 peratus pada tahun 2021.

Terdahulu Mohd Azman menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak. Beliau dalam sidang media juga menyebut mengenai Kadar Jenayah Indeks di Sarawak menunjukkan penurunan.

Keadaan jenayah di Sarawak adalah terkawal dan menunjukkan penurunan indeks jenayah pada tahun 2022 berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, sebanyak 3,895 kes jenayah dilaporkan sepanjang tahun lepas berbanding 4,299 kes pada tahun 2021.

Menurutnya, jumlah tersebut menjadikan Polis Kontinjen Sarawak berada di kedudukan keenam yang menyumbang kepada indeks jenayah bagi seluruh negara. — Dayakdaily