Seramai 100 peserta dari Asajaya sertai Program Bomba Komuniti

Gambar kenangan bersama para peserta Program Bomba Komuniti.

Oleh Dean Adam

ASAJAYA, Jun 20: Seramai 100 orang peserta telah terlibat dalam Program Bomba Komuniti anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak di sini sejak tiga hari lepas.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Khirudin Drahman berkata, terdapat 10 buah kampung telah menyertai program yang menerapkan pengetahuan asas mengenai keselamatan kebakaran seperti ‘good housekeeping’, kaedah penggunaan alat pemadam api dan kaedah penyelamatan semasa kebakaran.


Katanya, antara kampung terlibat ialah Kampung Sampun Gerunggang, Kampung Sebandi Ulu, Kampung Sampun Tebun, Kampung Beliong Sangkap, Kampung Tambirat, Kampung Asajaya Ulu, Kampung Serpan Laut, Kampung Sampun Kelili, Kampung Moyan Laut dan Kampung Sambir.

“Setiap pasukan atau kampung akan dijadikan ‘fire point’ dan akan menerima dua unit alat pemadam api dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Saya percaya, penglibatan semua peserta dalam Program Bomba Komuniti ini dibuat secara sukarela untuk membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi menjaga keselamatan masyarakat dari bahaya kebakaran,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Penutupan Program Bomba Komuniti Bagi Kawasan N15 Asajaya di Dewan Tan Sri Datuk Amar Haji Ikhwan Zaini di sini semalam.

Sementara itu, Khirudin memberitahu, Balai Bomba dan Penyelamat Asajaya telah beroperasi sepenuhnya pada Jun 17 lepas.

Katanya, balai bomba berkenaan beroperasi dengan kekuatan keanggotan seramai 25 orang termasuk 15 orang Pegawai Bomba Bantuan yang telah tamat latihan kursus asas Pegawai Bomba Bantuan pada Mei 29 yang lalu.

“Walaupun masih menumpang premis milik Pejabat Daerah Asajaya, namun dengan beroperasinya Balai Bomba dan Penyelamat Asajaya, penduduk di daerah ini dapat menarik nafas lega.

“Ini kerana sebelum ini, sekiranya berlaku panggilan kebakaran atau kecemasan di Daerah Asajaya, Balai Bomba dan Penyelamat Samarahan yang akan dikerahkan untuk hadir operasi dengan jarak yang jauh,” katanya. — DayakDaily