Cubaan seludup 280 tong gas memasak ke negara jiran ditumpas

Anggota tentera membawa kedua-dua suspek ke IPD Bau.

Oleh Dean Adam

BAU, Jun 20: Pasukan tentera dari Batalion ke-10 Rejimen Renjer Diraja telah berjaya menahan dua orang warga tempatan dalam cubaan menyeludup keluar 280 unit tong gas memasak (LPG) ke negara jiran.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen berkata, kedua-dua lelaki tempatan yang berusia 38 dan 43 tahun itu ditahan pada pukul 10.15 pagi.


Katanya, sebelum itu sepasukan anggota tentera yang menjalankan rondaan rutin telah mengesan pergerakan sebuah lori dalam keadaan yang mencurigakan.

“Anggota tentera terus menahan lori tersebut sebelum melakukan pemeriksaan dan menemui 280 unit tong gas memasak 14 kilogram yang disyaki untuk diseludup keluar ke negara jiran.

“Kedua-dua lelaki tersebut yang gagal menunjukkan dokumen sah mengenai muatan yang dibawa itu kemudian ditahan,” katanya di sini semalam.

Mengulas lanjut, jurucakap sama memberitahu, nilai anggaran barangan rampasan tersebut ialah sebanyak RM139,000.

“Kedua-dua suspek dan barangan rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau untuk tindakan selanjutnya”. — DayakDaily