Seorang masih hilang dalam insiden kapal karam di Bintulu

Kapal yang karam.

BINTULU, 2 Julai: Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuching telah mengaktifkan Operasi CARILAMAT pada jam 11.15 pagi tadi berikutan seorang mangsa dikhuatiri hilang setelah sebuah kapal tangki dilaporkan karam.

Pengarah Zon Maritim Bintulu Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata kejadian dilaporkan berlaku di perairan Samalaju pada jarak lebih kurang 40.2 batu nautika dari Barat Laut Bintulu.

Katanya sekitar jam 10.53 pagi tadi MRSC Kuching telah menerima laporan polis dan pengadu menyatakan satu kapal tangki beserta empat orang kru telah dikhuatiri karam.

“Tiga orang kru berjaya diselamatkan manakala satu kru warga India, disyaki hilang.

“Menurut mangsa yang terselamat, ketika kapal tangki tersebut sedang bersauh di perairan Samalaju, Bintulu sekitar jam 2 pagi semalam, kapal mereka telah dilanda ribut dengan ketinggian ombak dipercayai setinggi 5 meter dan kelajuan angin yang mencapai 50 knot menyebabkan kapal dimasuki air dan tenggelam dalam masa 2 jam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kesemua mangsa ketika itu memakai jaket keselamatan dan liferaft terpaksa dilepaskan kerana air telah memasuki kapal sehingga menyebabkan kapal ditenggelami air.

“Tiga orang mangsa iaitu dua warga tempatan termasuk nakhoda, satu warga India telah berjaya menyelamatkan diri dengan menaiki liferaft tersebut manakala seorang lagi kru tidak sempat menaiki liferaft dan terus hanyut menjauhi liferaft,” katanya.

Ketiga-tiga mangsa menaiki liferaft telah diselamatkan oleh bot yang kebetulan berada berhampiran dengan lokasi kejadian dan seterusnya mangsa tersebut dibawa ke darat.

Pakaian terakhir mangsa yang dilaporkan hilang adalah berbaju hitam putih, seluar panjang dan memakai jaket keselamatan.

Sebuah kapal Maritim yang sedang beroperasi di sekitar perairan Bintulu telah diatur gerak ke lokasi kejadian bagi melakukan pencarian.

Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) telah ditubuhkan Samalaju dan MRSC Kuching telah turut memaklumkan insiden kejadian kepada agensi sahabat serta telah memajukan permohonan aset udara kepada Unit Udara Bomba Miri dan Polis Gerakan Udara Miri.

Persatuan komuniti pemancing Sarawak, Persatuan Nelayan Sarawak, pihak Shell Bintulu dan pihak Petronas turut telah dimaklumkan berkenaan dengan kejadian tersebut.

Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh Komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus melalui talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu ditalian 086-314 254 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak 082-432544/ 082-432016 yang beroperasi 24 jam. — DayakDaily