Selepas 3 hari tahan sakit, pendaki gunung diselamatkan unit udara bomba

Mangsa tiba di Miri untuk rawatan lanjut.

Oleh Dean Adam

MIRI, Dis 18: Selepas tiga hari menahan kesakitan akibat mengalami keretakan di punggung dan lebam pada tulang rusuk akibat terjatuh dari Gunung Mulu, seorang pendaki lelaki warga Jepun akhirnya berjaya dibawa keluar dari kawasan taman negara berkenaan hari ini.

Mangsa, Akihiro Noda, 25, berjaya dibawa keluar boleh pasukan unit udara bomba menggunakan helikopter jenis BMB 565 kira-kira pukul 7.40 pagi.


Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pasukan unit udara bomba berjaya membawa keluar mangsa dengan menggunakan kaedah ‘winching’ bersama tiga orang porter.

Katanya, selepas menurunkan tiga orang porter di Lapangan Terbang Mulu, mangsa yang cedera terus diterbangkan ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Pasukan unit udara menggunakan teknik ‘winching’ untuk menyelamatkan seorang pendaki Jepun yang cedera.

“Helikopter bomba seterusnya selamat mendarat di Hospital Miri pada pukul 8.40 pagi sebelum menyerahkan mangsa yang cedera kepada pasukan perubatan bagi tindakan selanjutnya.

“Turut berada di pekarangan Hospital Miri bagi menyambut ketibaan helikopter yang membawa mangsa itu ialah Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Khirudin Drahman, Pengarah Hospital Miri Dr Jack Wong serta para pegawai bomba lain,” katanya di sini hari ini.

Anggota unit udara bomba bersama mangsa (tengah) yang diselamatkan dari Gunung Mulu.

Tiong menambah, operasi khas itu tamat sepenuhnya selepas mangsa dibawa ke Hospital Miri.

DayakDaily semalam melaporkan seorang pendaki lelaki warga Jepun berdepan dengan detik mencemaskan selepas dia terjatuh semasa mendaki Gunung Mulu dekat sini pada 15 Disember lepas.

Bagaimanapun, laporan berhubung kejadian berkenaan hanya diterima semalam menerusi Pengurus Perkhidmatan Pelancongan, Taman Negara Mulu. -DayakDaily