Pendaki Jepun disyaki retak punggung dan lebam tulang rusuk terjatuh dari Gunung Mulu

Keadaan kabus tebal di puncak Gunung Mulu.

Oleh Dean Adam

MIRI, Dis 17: Seorang pendaki lelaki warga Jepun berdepan dengan detik mencemaskan selepas dia terjatuh semasa mendaki Gunung Mulu dekat sini pada Disember 15 lepas.

Bagaimanapun, laporan berhubung kejadian berkenaan hanya diterima hari ini menerusi Pengurus Perkhidmatan Pelancongan, Taman Negara Mulu.


Pasukan unit udara bomba sudah berada di lokasi, namun masih belum dapat melakukan operasi ‘winching’ disebabkan keadaan kabus yang tebal di puncak Gunung Mulu.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, berdasarkan laporan diterima, mangsa, Akihiro Noda, 25, disyaki mengalami keretakan di punggung dan lebam pada tulang rusuknya akibat terjatuh.

Jelasnya, mangsa kini berada di Camp 4 Gunung Mulu iaitu pada ketinggian dari paras laut 1,820 meter.

“Unit Udara Bomba telah dimaklumkan dan operasi menyelamat mangsa akan dilakukan bergantung kepada keadaan cuaca di lokasi.

“Kejadian dikatakan berlaku pada pukul 9.00 malam iaitu hari ketiga pendakian mangsa bersama dua lagi rakan senegara yang merupakan penyelidik dan tiga orang porter,” katanya di sini hari ini.

Law menambah, berdasarkan maklumat diterima, mangsa tidak menunjukkan tindakan balas akibat kecederaan yang dialami.

Jelasnya, mangsa juga dikatakan tidak dapat bergerak disebabkan kecederaan tersebut.

“Sehubungan itu, pihak pengurusan taman negara memohon bantuan melalui udara untuk membawa mangsa ke bawah.

“Maklumat berhubung operasi ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” ujar Law lagi. — DayakDaily