Seksyen Julau sepanjang 28.5km kini siap

Abang Johari menyampaikan surat kerja kepada seorang kontraktor semasa majlis pembukaan Seksyen Julau hari ini. Foto kredit: Ukas

By Nur Ashikin Louis

JULAU, 20 Nov: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama Menteri Kerja Raya, Dato Sri Fadillah Yusof hari ini telah merasmikan Seksyen Julau Lebuhraya Pan Borneo (LPB) sepanjang 28.5km yang bernilai RM537.4 juta.

Menurut Fadillah, Seksyen Julau yang dilaksanakan oleh Hock Seng Lee – Dhaya Maju Infrastructure Asia JV, adalah sebahagian daripada keseluruhan tiga jajaran Kontrak Pakej Kerja (WPC) 07 dari Persimpangan Bintangor ke Jambatan Sungai Kua sepanjang 75km.


“Skop pembinaan Seksyen Julau ini melibatkan kerja-kerja menaiktaraf jalan persekutuan sedia ada dari dua lorong ke empat lorong dari Persimpangan Bintangor ke Persimpangan Julau sepanjang 28.5km.

“Dengan siapnya pembinaan seksyen Julau pada 28 Okt, penduduk sekitar boleh bergerak dengan lebih selesa dari bandar Sibu ke Pantu seterusnya ke Miri di mana geometri jalan telah ditambah baik dan jalan juga lebih lebar,” katanya semasa bercakap dalam Majlis Pembukaan Jalan Projek LPB Sarawak bagi Seksyen Julau di Julau hari ini.

Fadillah yang juga Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut berkata bahawa kerajaan persekutuan berhasrat untuk mengulangi kejayaan projek-projek lebuhraya di Semenanjung menerusi projek LPB Sarawak.

“Rangkaian jalan raya yang baik mampu melonjak potensi pertumbuhan dan impak transformasi pembangunan luar bandar.

“Projek LPB Sarawak ini juga bakal memperluaskan jaringan pengangkutan dan keterhubungan antara pekan serta daerah ke pusat pertumbuhan yang berpotensi seperti pelabuhan, kawasan perindustrian dan pusat-pusat komersial di sepanjang jajarannya,” katanya lagi.

Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak merupakan projek Kerajaan Persekutuan yang dilaksanakan Kementerian Kerja Raya sebagai pemilik projek dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak selaku Pegawai Penguasa Projek.

Projek ini adalah satu komitmen Kerajaan Persekutuan dalam mewujudkan pembangunan yang mampan, seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif untuk semua lapisan masyarakat, etnik dan wilayah.

Ini selaras dengan Teras Strategik Keenam di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 iaitu Keterangkuman Wilayah. — DayakDaily