Sarawak United FC diarah beri penjelasan berhubung isu gaji — Abdul Karim

Abdul Karim (dua dari kanan) di Majlis Nang Rinduk Citra Hari Malaysia Asajaya 2022 di Asajaya.

KUCHING, 24 Sept: Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah mahu pengurusan Sarawak United FC (SUFC) menjelaskan segera berhubung isu gaji pemain yang didakwa tidak dibayar.

Abdul Karim yang menanti penjelasan daripada pihak terlibat turut menggesa mereka berjumpa beliau dengan segera.

“Saya belum mendapat butiran lengkap, ada yang mendakwa sudah dibayar, ada juga mendakwa belum dibayar.


“Kalau tak mampu bayar pemain atau pegawai dengan gaji besar, jangan ambil pemain yang memohon gaji besar.

“Mesti praktikal, ramai pemain yang boleh bemain dengan baik tetapi tak perlu dibayar gaji sehingga RM30,000 hingga RM40,000,” katanya.

Abdul Karim berkata demikian ketika ditemui di Majlis Nang Rinduk Citra Hari Malaysia Asajaya 2022 di Asajaya hari ini.

Malah tambah beliau, Premier Sarawak (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) juga tidak senang dengan isu tersebut yang sedikit sebanyak mencemar nama Sarawak.

Dalam pada itu, bekas pengendali SUFC B Sathianathan mengesahkan bahawa pasukan itu sebenarnya masih gagal menyelesaikan tunggakan gaji.

Ini sekaligus menyangkal kenyataan kelab terbabit yang kononnya sudah melunaskan semua hutang kepada pemain dan pegawai pasukan.

“Kenyataan SUFC yang mengakui sudah menjelaskan tunggakan gaji kepada pemain sehingga bulan Ogos, dan pegawai pasukan sehingga Julai ini adalah tidak benar dan satu pembohongan,” menurut kenyataan B Sathianathan yang dilaporkan sebuah akhbar nasional hari ini. — DayakDaily