Sarawak di kedudukan ke-4 tertinggi isu kesihatan mental – Fatimah

Fatimah (tiga dari kiri) pada Perasmian Simposium Kebangsaan Kesejahteraan Psikologi.

KUCHING, 12 Okt: Isu kesihatan mental di Sarawak adalah keempat tertinggi di Malaysia, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Fatimah berkata, statistik ini perlu diambil serius dan ditangani dengan bijak.

Beliau tidak menafikan krisis Covid-19 dua tahun lalu telah menjejaskan kelangsungan hidup berikutan tempoh kawalan pergerakan dan penjagaan bagi menyekat penularan wabak.


“Isu kesihatan mental di Sarawak adalah yang keempat tertinggi di Malaysia iaitu pada kadar 35.8 peratus mengikut National Health and Morbidity Survey Report 2015.

“Kes lebih tinggi di luar bandar dan di kalangan penduduk bumiputera.

“Masalah yang lazim adalah kemurungan di mana 35 peratus adalah di kalangan remaja 16 tahun ke atas dan 16 peratus dibawah umur 15 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian di majlis penutupan Simposium Kebangsaan Kesejahteraan Psikologi (SKeP2022) di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR PUTRA) UNIMAS hari ini.

Sehubungan itu jelas beliau, kementerian telah mengambil inisiatif untuk membangunkan satu Indeks Kesejahteraan Sosial dengan mengambil kira domain-domain yang relevan untuk mengukur tahap kesejahteraan sosial di Sarawak.

SKeP2022 yang berlangsung dari 11 hingga 12 Oktober 2022 merupakan anjuran bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan UNIMAS dan dihadiri seramai 300 peserta dari seluruh negara. — DayakDaily