Sarawak ambil ikhtibar PRN Sabah

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah

ASAJAYA, Okt 2: Sarawak akan mengambil ikhtibar situasi yang berlaku di Sabah dalam menghadapi pilihanraya negeri akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata aktiviti kempen yang dilakukan pada ketika itu haruslah dilakukan dalam keadaan yang sederhana dan mematuhi prosedur operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Setiap pemimpin dan jentera pilihanraya katanya haruslah sentiasa peka terhadap peraturan dan menjaga keselamatan masing-masing kerana negara masih berhadapan dengan bahaya jangkitan pandemik COVID-19


“Kalau hendak berkempen, kempenlah dalam keadaan sederhana janganlah terlalu ghairah sekali sehingga lupa dengan SOP yang sepatutnya,” katanya.

Pemimpin terlibat katanya tidak perlu terlampau mahu menonjolkan diri dalam menjalankan aktiviti kempen mereka sehingga mengabaikan SOP sekaligus menyumbang kepada risiko jangkitan virus terbabit.

Katanya, setiap parti yang mahu bertanding haruslah membiarkan hanya calon dan jenteranya untuk berkempen di kawasan masing-masing tanpa perlu kehadiran orang luar daripada kawasan tersebut.

“Jika boleh, tidak perlulah orang daripada Sabah datang, orang daripada Semenanjung datang kecuali perlu. Pemimpin atasan bolehlah datang tetapi janganlah datang satu batalion turun.

“Dengan cara ini, kita akan dapat mengurangkan risiko jangkitan pandemik COVID-19 ini kerana kita dapat mengawal ia daripada daripada daripada dalam.

“Jika ada kehadiran orang luar yang ramai risiko itu akan bertambah dan ini yang berlaku semasa Pilihan raya negeri di Sabah apabila lebih ramai orang luar yang datang,” katanya.

Ujar Abdul Karim, tindakkan sedemikian akan memberikan masalah termasuk menyumbang kepada kepantasan pemerebakkan wabak COVID-19.

Katanya, beliau percaya rakyat Sarawak sudahpun membuat keputusan berkenaan pemimpin yang bakal memimpin negeri itu untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Kita tunggu sahaja hari mengundi, kita mengundi, tidak perlu kempen lebih-lebih,” katanya. — DayakDaily