Rumah Spektra Permata Badong di Daro siap Mei 2023

Pembinaan Rumah Spektra Permata (RSP) di bawah Skim Pembesaran Kampung (SPK) Badong di Daro.

KUCHING, 23 Okt: Pembinaan 28 unit Rumah Spektra Permata (RSP) di bawah Skim Pembesaran Kampung (SPK) Badong di Daro dijadual siap pada Mei 2023.

Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) dalam satu kenyataan berkata, pelaksanaan projek RSP Badong bermula sejak Julai 2022.

“Ketika ini kerja-kerja pembersihan dan penembokan tapak sedang dijalankan oleh pemaju dan melibatkan kos RM1,391,585.13 di bawah peruntukan RMK-12.

“Untuk pembinaan 28 unit RSP pula, jumlah kos diperuntuk dibawah peruntukan Projek Rakyat sebanyak RM36,500,000,” katanya.

Menurut HDC, rumah tersebut dianggarkan berharga RM90,000 hingga RM160,000, tidak termasuk premium tanah Jabatan Tanah & Survei dan hanya yang berkelayakan akan mendapat keutamaan.

Antaranya adalah bagi yang berumur 18 tahun hingga ke 65 tahun, berkahwin, warganegara Malaysia bermaustatin di Sarawak.

“Bagaimanapun, terdapat kriteria-kriteria lain yang selari dengan syaratsyarat Skim Pembesaran Kampung turut diguna pakai,” kata HDC.

Manakala pembiayaan perumahan pula disediakan oleh Mutiara Mortgage & Credit Sdn Bhd, anak syarikat HDC dengan kadar pinjaman serendah 1 peratus.

Pembayaran balik pinjaman serendah RM250 sebulan tertakluk kepada tempoh pinjaman.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini melawat tapak RSP Badong, Daro. — DayakDaily