RM500 untuk setiap keluarga mangsa bencana banjir

Richard (tengah) menyampaikan wang ikhsan sebanyak RM500 kepada keluarga yang menjadi mangsa bencana banjir di Parlimen Serian awal tahun ini.

SERIAN, Mac 25: Kerajaan pusat telah bersetuju meluluskan pemberian wang ikhsan banjir sebanyak RM500 kepada setiap keluarga yang menjadi mangsa bencana banjir yang melanda negeri ini awal tahun ini.

Menteri Sumber Manusia, Dato Sri Richard Riot Jaem berkata wang ikhsan banjir tersebut akan diagihkan Jabatan Perdana Menteri menerusi Agensi Pengurusan Bencana Alam Negara (NADMA) dan pengagihannya bermula kepada keluarga mangsa banjir terbabit di sekitar Parlimen Serian.

“Keseluruhannya terdapat 11 daerah di negeri ini telah dilanda bencana banjir awal tahun ini. Kabinet kerajaan pusat telah meluluskan pemberian wang ikhsan sebanyak RM500 kepada setiap keluarga yang menjadi mangsa bencana itu dan seramai 271 keluarga terbabit dari sekitar Parlimen Serian menjadi kumpulan pertama menerimanya hari ini,” katanya ketika menyampaikan wang ikhsan berkenaan kepada penerimanya di Dewan Masyarakat Serian, pekan Serian, di sini, hari ini.

Sebanyak 271 keluarga terbabit dari enam kampung di kawasan Parlimen Serian iaitu Kampung Hulu (144 keluarga), Kampung Sorak Melayu (47 keluarga) Kampung Mentung Birawan (45 keluarga), Kampung Slabi Plaman (16 keluarga), Kampung Melayu Balai Ringin (12 keluarga), dan Kampung Slabi Entukuh (7 keluarga).

Richard yang juga Ahli Parlimen Serian sehubungan itu berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Jabatan Perdana Menteri dan NADMA kerana bersetuju mengagihkan wang ikhsan terbabit kepada mangsa bencana itu di Sarawak dan memilih mengagihkannya bermula di Parlimen Serian.

“Selepas Parlimen Serian, barulah wang ikhsan terbabit akan diagihkan di kawasan Parlimen lain di negeri ini; bagaimanapun butirannya ada pada NADMA,” katanya.

Sementara itu, mengenai projek mengatasi masalah banjir di kawasan Parlimen Serian, beliau yang sudah lebih 20 tahun menjadi wakil rakyat kawasan itu merasakan projek terbabit tidak perlu disegerakan dan penduduk kawasan itu juga tidak perlu khuatir mengenainya.

“Ini kerana banjir di Serian adalah banjir kilat akibat hujan lebat yang turun dari kawasan bukit dan tidak dapat disalirkan dengan cepat melalui sungai dan banjir itu hanya tiga atau lima hari dan tidak pernah melebihi tujuh hari,” katanya.

Beliau berkata ini berbeza dengan negeri di pantai timur Semenanjung yang bencana banjir kekal sehingga dua minggu atau lebih kerana air yang tidak bergerak dan perlu dilaksanakan projek mengatasi bencana terbabit dengan segera. — DayakDaily