Hendak masak, suri rumah terkejut dengan kehadiran ular tedung

Kelihatan ular tedung yang ditangkap.

MIRI, Mac 25: Seorang suri rumah yang hendak memasak terkejut dengan kehadiran seekor ular tedung yang bersembunyi di bawah peti sejuk di dalam rumahnya di Kampung Wireless di sini hari ini.

Kehadiran reptilia berbisa itu dikesan kira-kira pukul 8.30 pagi sebelum wanita berusia 32 tahun tersebut menghubungi pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Miri.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Miri, Kapten (PA) Mohd Hazle Shah Abd Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.31 pagi.

Menurutnya, dua anggota APM diketuai Sabri Maula Ramli kemudian bergegas ke kampung berkenaan untuk menangkap ular tedung itu.

“Sebaik tiba, anggota APM mendapati reptilia tersebut masih bersembunyi di bawah peti sejuk.


“Anggota APM kemudian bertindak menangkap ular itu dengan menggunakan peralatan khas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Hazle menambah, anggota APM mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menangkap ular tedung itu.

Katanya, reptilia tersebut kemudian dibawa untuk disimpan dalam sangkar ular yang disediakan.

“Operasi menangkap ular tedung itu tamat sepenuhnya pada pukul 9.35 pagi,” ujarnya lagi. — DayakDaily