RM21.7 juta kerugian tipu dalam talian direkod bagi tempoh 2020 hingga Februari 2022

Dato Sri Alexander Nanta Linggi

KUCHING, 14 Mac: Sejumlah RM21.7 juta kerugian yang melibatkan penipuan secara dalam talian dan media elektronik direkodkan bagi tempoh tahun 2020 sehingga 17 Februari 2022.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, ia berdasarkan statistik kementerian dengan sejumlah 24,018 aduan dari seluruh negara.

“Kes penipuan dalam talian ini mungkin dipantau atau dikawal selia oleh kementerian-kementerian lain yang turut berkaitan.

“Suka saya ingin memaklumkan bahawa data ini adalah aduan yang dilaporkan kepada KPDNHEP sahaja,” katanya pada sidang Parlimen di Kuala Lumpur hari ini bagi menjawab soalan MP Pandan Dato’ Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Tambah Nanta, kementerian sentiasa memantau aktiviti perniagaan secara dalam talian di negara ini berdasarkan bidang kuasa dan perundangan yang dikuatkuasakan.

Katanya, KPDNHEP turut mengadakan jaringan kerjasama dengan agensi berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Kerjasama ini juga melibatkan syarikat telekomunikasi dan pengendali tapak pasar dalam talian bagi membanteras kegiatan manipulasi peniaga yang tidak beretika.

“Kementerian juga sedang dalam proses menguatkuasakan perundangan transaksi dalam talian menerusi pindaan Akta Perdagangan Elektronik 2006 dengan penglibatan Multimedia Development Corporation (MDeC), pengendali tapak pasar dalam talian.

“Ia juga melibatkan pemain industri berkaitan tindakan penguatkuasaan secara lebih bersepadu selaras dengan Pelan Hala Tuju Strategik eDagang (NESR),” ujar Nanta.

Susulan penularan wabak Covid-19 di Malaysia dan pembudayaan norma baharu, pembelian dalam talian telah menjadi pilihan utama kepada pengguna untuk berbelanja. — DayakDaily